ALOR SETAR: Tiga lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu  untuk mendapatkan pengurangan duti kereta mewah sedangkan kenderaan terbabit tidak layak menerimanya.

Tertuduh Mohd Noh Hussain, 47, Mohd Khairol Suberi, 36, dan Fairul Ismazi Ishak, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mohd Noh yang merupakan bekas pengurus gudang didakwa atas dua pertuduhan pilihan iaitu menggunakan surat akaun palsu bertarikh 6 Mei 2014 dan menggunakan borang kastam palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 21 Mei 2014 dan 1 Jun 2021.

Sementara itu, Mohd Khairol yang bekerja sebagai ‘runner’ didakwa atas dua pertuduhan menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di Pejabat Kastam Daerah Langkawi, Dermaga Tanjung Lembung di Langkawi pada 27 April 2021 serta antara 21 April dan 22 April 2021.

Fairul Ismazi yang bekerja sendiri juga didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport palsu di lokasi sama, pada 22 Nov 2021.

Kelima-lima pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, hakim Rohatul Akmar menetapkan esok (Selasa) untuk menjatuhkan hukuman.

Rohatul Akmar membenarkan Mohd Noh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, manakala Mohd Khairol dibenarkan jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan Fairul Ismazi diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Mohd ‘Afif Ali, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Quah Chien Chieh dan Mohd Hakim Hamran.

Pada Julai tahun lepas, SPRM menahan tujuh lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mengurangkan duti kereta mewah secara tidak sah sehingga menyebabkan ketirisan cukai kastam berjumlah kira-kira RM33 juta.