KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia (MVCR) untuk tahun 2024-2030 dengan meletakkan tiga strategi utama sebagai pendekatan untuk memacu transformasi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata dirangka melalui kerjasama teliti dan kebijaksanaan strategik, peta hala tuju ini akan mendorong keusahawaan sekali gus menggerakkan pertumbuhan ekonomi di seluruh negara.

Katanya, MVCR turut disasarkan untuk memudahkan peningkatan kejayaan perniagaan dengan pelan hala tuju yang merangkumi 11 intervensi komprehensif untuk memperkukuhkan ekosistem modal teroka di Malaysia.

Menurutnya, 11 intervensi itu akan berada di bawah tiga strategi iaitu meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, menambah baik kebolehcapaian pembiayaan dan meningkatkan ekosistem bakat.

“Dengan tiga strategi utama ini, kami ingin membentuk dan memperkuatkan ekosistem modal teroka di Malaysia untuk memberi impak dan peluang yang lagi maksimum.

“Dengan ekosistem syarikat pemula yang berkembang pesat dan rangka kerja peraturan yang memberangsangkan, negara kita telah menjadi destinasi yang semakin menarik bagi pelabur,” kata beliau ketika melancarkan MVCR di sini, pada Isnin.

Beliau turut berpandangan bahawa syarikat pemula Malaysia kini sedang mencipta gelombang di pelbagai sektor termasuk fintech, bioteknologi, e-dagang dan tenaga boleh diperbaharui.

“Namun semasa kita meraikan pencapaian ini, kita juga mesti mengiktiraf cabaran yang mendatang. Akses kepada pasaran modal kekal mendesak untuk ramai bakal usahawan, terutamanya mereka dari komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan atau dengan idea yang tidak konvensional.

“Adalah penting untuk kita menangani halangan dan mewujudkan persekitaran di mana inovasi boleh berkembang maju tanpa mengira latar belakang atau lokasi,” jelasnya lagi.

MAVCAP adalah syarikat modal teroka atau capital venture (VC) terbesar di Malaysia yang melabur dalam industri teknologi.

Ditubuhkan pada tahun 2001, MAVCAP mempunyai nilai portfolio hampir RM1 bilion dalam dana yang dikendalikan oleh firma dan rakan sektor swasta.