Seorang penganggur dijumpai mati di belakang rumah seorang peraih pisang di Kampung Tebakang, Marang pada Isnin.

Susulan kejadian, tiga suspek diberkas termasuk pemilik kebun berusia 38 tahun yang juga suspek utama.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid, turut ditahan anak saudara suspek utama yang berusia 15 tahun dan rakan mangsa berusia 37 tahun.

"Kita dapati suspek mengesyaki mangsa mencuri pisang di kebunnya dan perasaan marah itu membuatkan dia mengambil tindakan melulu sehingga menyebabkan kematian.

"Saya minta supaya orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri terhadap apa-apa isu kerana kita ada undang-undang dan agensi penguatkuasa, laporkan kepada pihak polis dan kita akan ambil tindakan," kata Fazlisyam.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan sekitar jam 5 hingga 11 malam tadi di sekitar Bukit Payung, Marang.

Katanya hasil ujian saringan air kencing juga mendapati ketiga-tiga supek positif dadah jenis Methamphetamine.

Suspek utama juga turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes menceroboh.

Fazlisyam berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa yang berusia 42 itu dipukul menggunakan objek keras.

Jelasnya, polis turut merampas beberapa barang kes termasuk pisang dan batang besi.

Ketiga-tiga suspek direman selama lima hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap di belakang sebuah rumah di Kampung Tebakang kira-kira jam 4.30 petang.