MALAYSIA

30 peratus peserta PLKN tidak hadir, masalah kesihatan antara alasan utama

Bernama 17/07/2025 | 08:30 MYT
Mohamed Khaled berucap pada Perasmian Kembara Lestari @ Kota Tinggi Bersama Yayasan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Kira-kira 30 peratus peserta daripada dua siri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dilaporkan gagal menghadiri latihan atas pelbagai alasan, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


Ringkasan AI
  • PLKN 3.0 catat kadar ketidakhadiran hingga 30% dalam dua siri awal, dengan alasan seperti masalah kesihatan dan tawaran pengajian universiti.
  • Program masih dalam fasa percubaan, dan pelaksanaan penuh dijadualkan bermula tahun hadapan, dengan latihan selama 45 hari di kem-kem Askar Wataniah.
  • Maklum balas peserta terhadap latihan ketenteraan sangat positif, dengan cadangan supaya elemen tersebut dipertingkat untuk membina disiplin dan jati diri.


Beliau berkata antara alasan utama yang diberikan adalah masalah kesihatan dan melanjutkan pengajian ke universiti.

"Setakat ini, bagi setiap siri sebelum ini untuk PLKN 3.0 kita dapati sekitar 10 hingga 15 peratus peserta tidak hadir. Kebanyakannya ada alasan tersendiri seperti sakit atau baru dapat tawaran universiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Kembara Lestari Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) di Felda Lok Heng Barat di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata PLKN 3.0 masih berada dalam fasa percubaan dan pelaksanaan sepenuhnya hanya akan bermula tahun hadapan.

Program yang mengekalkan tempoh latihan selama 45 hari itu juga menerima maklum balas positif daripada peserta, khususnya terhadap elemen latihan ketenteraan yang disifatkan memberi impak besar dalam membina disiplin dan jati diri.

"Peserta daripada dua siri terdahulu memberikan maklum balas yang baik dan meminta supaya pengisian latihan ketenteraan dipertingkatkan," katanya.

PLKN 3.0 Siri 1/2025 diadakan di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur selama 45 hari bermula 12 Jan hingga 25 Feb.

Siri 2/2025 pula bermula pada 11 Mei hingga 24 Jun lepas manakala Siri 3 akan dilaksanakan pada 7 Sept hingga 21 Okt 2025 iaitu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.

-- BERNAMA





#plkn #Program Latihan Khidmat Negara #Mohamed Khaled Nordin #tidak hadir #masalah kesihatan