30 rakyat Filipina, Indonesia dihukum penjara gunakan kad pengenalan palsu

Astro Awani
Februari 1, 2016 05:28 MYT
Tiga Mahkamah Majistret berasingan menjatuhkan hukuman penjara terhadap 30 warganegara Filipina dan Indonesia dalam kes kad pengenalan palsu. - Gambar hiasan
Seramai 30 warganegara Filipina dan Indonesia dihukum penjara antara tiga hingga lima bulan oleh tiga Mahkamah Majistret berasingan selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu milik orang lain.
Kesemua tertuduh yang terdiri daripada 27 lelaki dan tiga perempuan, berusia antara 18 hingga 56 tahun ditahan dalam satu operasi bersepadu oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara di sekitar Balok dan Sungai Karang, pada 21 Januari lalu.
Antara mereka, 28, merupakan kaum Suluk dan berasal Dari Zamboanga, Filipina manakala dua lagi adalah daripada Kalimantan, Indonesia.
Mereka akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing setelah menjalani hukuman penjara yang bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Kes disiasat di bawah Seksyen 25(1) (e) peraturan Peraturan Pendaftaran Negara 1990 Pindaan 2007 yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua duanya sekali jika disabit kesalahan.
#Kad pengenalan palsu #warganegara Filipina #warganegara Indonesia