SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

30 rakyat Malaysia terbabit sindiket penipuan dalam talian dibawa pulang dari Kemboja

Bernama 21/08/2025 | 09:19 MYT
Kedutaan memaklumkan kesemua rakyat Malaysia itu telah dihantar pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada Khamis. - Gambar hiasan/Facebook SouthEast Asia Infrastructure
PHNOM PENH: Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dengan bantuan pihak imigresen Kemboja berjaya menyelamatkan 30 rakyat Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian di negara itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, kedutaan memaklumkan kesemua rakyat Malaysia itu telah dihantar pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada Khamis selepas melalui pemeriksaan pihak imigresen tempatan, khususnya dengan sokongan pegawai imigresen Sihanoukville.

Tiada butiran lanjut didedahkan mengenai mangsa atau penahanan mereka.

Sejak Julai, Kemboja memperhebatkan operasi membanteras kegiatan penipuan dalam talian di negara itu dan lebih 3,000 suspek dari pelbagai negara telah dihantar pulang.

Ramai individu telah diperdaya oleh agensi pekerjaan dan dibawa ke Kemboja dengan janji palsu pekerjaan di kasino dengan tawaran gaji lumayan, namun akhirnya dipaksa bekerja di pusat penipuan dalam keadaan tidak terurus.

Kedutaan Malaysia di Phnom Penh aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja bagi membantu mereka yang terperangkap dalam kegiatan penipuan siber haram berkenaan.

Kedutaan juga telah membantu mereka yang ditahan untuk kembali ke Malaysia.

-- BERNAMA



#Kedutaan Malaysia #Phnom Penh #imigresen kemboja #rakyat Malaysia #sindiket penipuan #dalam talian