305 lagi ditahan ingkar SOP - Ismail Sabri

Madiha Abdullah
Mac 3, 2021 10:32 MYT
Daripada 305 yang ditahan, 296 dikenakan kompaun, lapan direman dan seorang dijamin.
KUALA LUMPUR: Seramai 305 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu, 296 dikenakan kompaun, lapan direman dan seorang dijamin.
"Antara kesalahan yang direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (100), tidak memakai pelitup muka (80), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (48) dan tiada penjarakan fizikal (40)," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Turut direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (17), premis yang beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (5), keluar rumah tanpa alasan munasabah (3) dan lain-lain yang tidak dinyatakan (12).
Sementara itu, seramai 8,824 warga asing menjalani ujian saringan COVID-19 semalam dan daripada jumlah itu, 36 didapati positif.
Sehingga kini, 559,619 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan, dengan 8,842 disahkan positif COVID-19.
#ismail sabri yaakob #SOP #COVID-19 #ujian saringan #Menteri Kanan Pertahanan #warga asing