MALAYSIA

31 lelaki termasuk pelajar, guru ditahan dalam Op Pedo 2.0

Astro Awani 24/10/2025 | 05:16 MYT
Mohd Khalid menunjukkan antara barang rampasan dalam Op Pedo 2.0.
KUALA LUMPUR : Seramai 31 lelaki termasuk pelajar sekolah, guru dan jurutera ditahan dalam operasi khas Op Pedo 2.0 selepas disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi seksual kanak-kanak di ruang siber.


Ringkasan AI
  • Seramai 31 suspek lelaki termasuk pelajar sekolah, guru dan jurutera ditahan dalam Op Pedo 2.0 selepas disyaki terlibat dalam eksploitasi seksual kanak-kanak di ruang siber antara 22 hingga 30 September lalu di 37 lokasi seluruh negara.
  • Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan membawa kepada rampasan 82 peranti digital dan penemuan lebih 880,000 fail mengandungi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), peningkatan lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0.
  • Setakat ini, 17 suspek telah dituduh di mahkamah manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan operasi akan diteruskan dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa.


Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, tangkapan dibuat hasil risikan digital dan pemantauan berterusan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) antara 22 hingga 30 September lalu di 37 lokasi seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 25 merupakan sasaran utama manakala enam lagi adalah tangkapan susulan. Semua suspek berusia antara 12 hingga 71 tahun, terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk guru, jurutera, pereka grafik, tukang masak, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta penganggur.

"Hasil siasatan awal membawa kepada rampasan 82 peranti digital termasuk komputer, telefon bimbit, modem dan storan digital, yang digunakan untuk memuat naik, menyimpan dan berkongsi bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM).

“Pemeriksaan ke atas peranti tersebut menemukan lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan CSAM kanak-kanak dan pornografi dewasa dan ia merupakan peningkatan lebih 20 kali ganda berbanding Op Pedo 1.0 yang dijalankan pada Disember 2024,” katanya pada sidang media Op Pedo Bersepadu PDRM-SKMM 2.0 di Bukit Aman pada Jumaat.

Setakat ini jelasnya, 17 suspek telah dituduh di mahkamah antara 24 September hingga 10 Oktober, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 8 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman bagi individu yang menjual, membeli atau berkongsi bahan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Mohd Khalid turut memaklumkan bahawa maklumat operasi diperoleh melalui analisis siber, pemantauan dark web serta aduan pengguna yang prihatin terhadap aktiviti mencurigakan dalam talian.

Tegasnya, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan, bukan sahaja kerana mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka, tetapi turut berpotensi mencetuskan peningkatan jenayah kekerasan lain yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.

Operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguat kuasa antarabangsa dan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan seumpama itu di dunia maya.







#pornografi #SKMM #Mohd Khalid Ismail #Ketua Polis Negara #Bukit Aman