Seramai 31 pelajar sekolah disyaki ponteng sekolah ditahan dalam Operasi Cegah Ponteng Sekolah yang diadakan di beberapa pusat beli-belah dan kafe siber sekitar bandar Kuantan hari ini.

Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Mohd Raauf Jali berkata kesemua pelajar yang ditahan itu, berumur antara sembilan hingga 18 tahun dan dua daripadanya didapati positif dadah.

"Kebanyakkan pelajar ditahan di kafe siber dan hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati dua daripada pelajar yang ditahan berkenaan yang berumur 14 tahun dan 15 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

"Dua pelajar berkenaan kemudian telahpun diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas Operasi Cegah Ponteng Sekolah peringkat negeri Pahang 2018 di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan hari ini.

Ia turut dihadiri Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh.

Menurutnya operasi berkenaan dijalankan setelah rekod pihaknya mendapati 2,586 masalah ponteng sekolah dicatatkan berlaku di negeri ini untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

"Antara tujuan operasi ini dilakukan untuk memberi kesedaran kepada murid dan pelajar sekolah supaya menghindari gejala ponteng sekolah.

"Perbuatan ini tidak memberikan sebarang manfaat kepada mereka, waktu persekolahan sepatutnya digunakan sebaiknya untuk menimba ilmu untuk bekalan masa hadapan," katanya.

Operasi bersepadu yang bermula pada pukul 10 hingga 1 petang tadi disertai oleh 79 anggota dan penguatkuasa daripada pelbagai agensi.

Antara jabatan dan agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang, Yayasan Pahang dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK). -- Bernama