PUTRAJAYA: Sebanyak 31 projek perumahan swasta sakit melibatkan 3,299 unit rumah dipulihkan dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2023, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Daripada jumlah itu, 28 projek perumahan telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala tiga lagi kembali lancar mengikut jadual pembinaan, katanya pada sidang media berhubung status terkini projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai di sini hari ini.

Menurut Akmal Nasrullah, secara keseluruhan, sebanyak 149 projek perumahan swasta sakit dipulihkan melibatkan 17,436 unit rumah dengan nilai RM15.2 bilion sama ada telah menerima sijil CCC atau kembali lancar mengikut jadual pembinaan sejak Jawatankuasa Bertindak Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan.

Jawatankuasa Bertindak Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan pada 30 Dis 2022, yang bertujuan mencari pendekatan yang lebih berfokus dan strategik serta memberi impak positif dalam menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai di negara ini.

"Jawatankuasa ini sentiasa bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan urusan dengan kementerian (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) termasuk agensi berkaitan bagi tujuan mempercepat proses penyiapan dan perolehan CCC," katanya.

Mengenai kategori projek lewat pula, Akmal Nasrullah berkata setakat 31 Mei lepas, ia telah berkurangan daripada 141 projek kepada 124 projek.

-- BERNAMA