Skip to main content

Malaysia

3.2 juta bekerja sendiri, dasar ekonomi perlu seiring - Pakar

Pelajar pun sudah pandai berniaga. Dari segi kesanggupan mengambil risiko, mereka juga semakin berani, ujar Mohd Afzanizam.
Pelajar pun sudah pandai berniaga. Dari segi kesanggupan mengambil risiko, mereka juga semakin berani, ujar Mohd Afzanizam.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Dasar ekonomi negara perlu disesuaikan dengan perubahan cara rakyat menjana pendapatan, termasuk kecenderungan generasi muda menceburi perniagaan dan pelaburan sejak di bangku pengajian.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perubahan itu mencerminkan realiti baharu ekonomi yang perlu diberikan perhatian dalam penggubalan dasar negara.

Menurutnya, generasi muda kini semakin terbuka terhadap peluang menjana pendapatan sendiri, selain menunjukkan kesediaan mengambil risiko dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan.

“Pelajar pun sudah pandai berniaga. Dari segi kesanggupan mengambil risiko, mereka juga semakin berani.

“Saya lihat dalam berita, mereka sudah mula melabur dalam pasaran saham dan sebagainya. Jadi, bagaimana kita mahu menerima perubahan ini?” katanya.

Beliau berkata demikian pada forum Bicara Persada “Belanjawan 2027 – Menjaga Poket Rakyat, Mengukuh Kantung Negara” di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, pada Jumaat.

Mohd Afzanizam berkata aktiviti pelaburan seperti urus niaga saham kadangkala masih dipandang negatif meskipun semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perubahan kecenderungan itu perlu difahami supaya dasar ekonomi tidak ketinggalan daripada perkembangan semasa.

“Kalau kerajaan tidak berubah untuk menerima realiti tersebut, saya kira sukar untuk kita mencapai ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Image
51738674540_Afzanizam.jpg
Generasi muda kini semakin terbuka terhadap peluang menjana pendapatan sendiri, selain menunjukkan kesediaan mengambil risiko dalam aktiviti perniagaan dan pelaburan, ujar Mohd Afzanizam.

Perubahan landskap pekerjaan itu turut dapat dilihat menerusi data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan kira-kira 3.17 juta individu bekerja sendiri setakat Ogos 2026.

Golongan berkenaan merangkumi pelbagai kegiatan ekonomi termasuk perniagaan kecil, pertanian dan perkhidmatan profesional.

Bagaimanapun, jumlah tersebut tidak merujuk kepada pekerja ekonomi gig semata-mata, sebaliknya melibatkan individu yang menjalankan pekerjaan sendiri tanpa menggaji pekerja.

Seiring perkembangan itu, akses kepada pembiayaan, literasi kewangan dan peluang meningkatkan kemahiran antara aspek yang wajar diberi perhatian.

Kerajaan sebelum ini turut memperkenalkan Akta Pekerja Gig 2025 bagi memperkukuh perlindungan golongan berkenaan.

Namun, kepelbagaian bentuk pekerjaan sendiri menunjukkan keperluan dasar yang lebih luas kerana cabaran dihadapi peniaga kecil, pekerja gig dan profesional bebas tidak semestinya sama.

Sehubungan itu, penyesuaian dasar ekonomi dilihat penting bagi memastikan perubahan cara rakyat bekerja dan menjana pendapatan dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi negara.


 

Must Watch Video

Advertisement