336 besi cerucuk stabilkan pergerakan tanah

Sinar Harian
Januari 31, 2022 06:06 MYT
Pada Selasa, media melaporkan lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di Seri Kembangan rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan berkenaan. - Gambar fail
SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) selesai memasang 336 besi cerucuk di kawasan tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di Seri Kembangan sehingga Isnin.
Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya, Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, ia melibatkan pemasangan besi cerucuk setinggi 12 meter di sepanjang 135 meter kawasan tanah yang terjejas.
"Kita sudah pasang 336 besi cerucuk (setiap satunya) dengan kedalaman 12 meter sepanjang (jarak) 135 meter namun ini untuk sementara bagi menstabilkan pergerakan tanah," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, peniaga yang terjejas di kawasan berkenaan akan dibenarkan menjalankan perniagaan semula apabila keadaan benar-benar selamat.
Menurutnya, pihak MBSJ akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis sebelum sebarang kelulusan dapat diberikan kepada peniaga.
"Kita akan bincang dengan pihak polis dan mungkin selepas sambutan Tahun Baharu Cina kita akan timbang untuk mereka berniaga kalau keadaan stabil," katanya.

Pemantauan berterusan dilaksanakan bersama pihak @PDRMsia UPBN MBSJ, sehingga 29 Januari 2022 sebanyak 220 kepingan cerucuk (sheet pile) telah dipasang sepanjang 88 meter di kawasan runtuhan. pic.twitter.com/ya3F8qvBLg

— Majlis Bandaraya Subang Jaya (@SJcitycouncil) January 31, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
BACA: Tanah mendap di Serdang: MBSJ pasang cerucuk besi elak runtuhan
BACA: 'Pergerakan tanah berlaku begitu pantas' - Saksi
Pada Sabtu, sistem pemasangan cerucuk mesra alam digunakan bagi kerja-kerja menanam cerucuk tanpa pencemaran bunyi dan gegaran sekali gus dapat mengurangkan risiko terhadap runtuhan.
MBSJ dalam kenyataan di laman Twitternya turut memaklumkan, langkah awal turut diambil dengan pemasangan ‘building settlement marker’ bagi memantau jika terdapat sebarang pergerakan.
Dalam pada itu, MBSJ kini sedang bekerjasama dengan beberapa agensi lain dalam membuat kajian bagi mengenal pasti punca sebenar runtuhan sebelum laporan lengkap dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.
Pada Selasa, media melaporkan lima kenderaan yang diletakkan di tepi Jalan LP 1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di Seri Kembangan rosak selepas tanah mendap berlaku di kawasan berkenaan.
Artikel asal di Sinar Harian
#Bandar Putra Permai #tanah mendap #besi cerucuk #MBSJ