Skip to main content
Advertisement

Malaysia

34 agensi berhimpun, mudahkan akses perkhidmatan rakyat luar bandar

Armizan berkata, pendekatan menghimpunkan pelbagai agensi di satu lokasi membolehkan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah tanpa perlu berurusan di lokasi berasingan. - Gambar fail/Bernama
Armizan berkata, pendekatan menghimpunkan pelbagai agensi di satu lokasi membolehkan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah tanpa perlu berurusan di lokasi berasingan. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUDAT: Program Sentuhan Kasih Rakyat membuka akses lebih mudah kepada perkhidmatan kerajaan apabila rakyat boleh mendapatkan khidmat kemas kini geran tanah dan pengesahan dokumen secara percuma menerusi program bersepadu di DUN Tanjong Kapor.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi inisiatif itu, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) menyediakan perkhidmatan semakan serta pengemaskinian butiran geran tanah, termasuk pembetulan kesilapan ejaan nama dan nombor kad pengenalan, yang boleh diselesaikan dalam tempoh maksimum kira-kira satu jam.

“Perkhidmatan berkenaan yang lazimnya melibatkan bayaran turut ditawarkan secara percuma, manakala khidmat pengesahan dokumen disediakan secara sukarela oleh Jaksa Pendamai (JP) melalui penyelarasan Majlis Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS).

“Melalui program ini, rakyat tidak perlu membayar langsung sama ada untuk mengemas kini geran tanah mahupun mendapatkan pengesahan dokumen,” katanya ketika ditemui selepas Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia Jualan Rahmah Madani di Kudat pada Sabtu malam.

Menurut beliau, program itu turut menggabungkan penyampaian bantuan Syukur, sesi interaksi bersama penerima, Jom Malaysia dan Jom Beli Produk Tempatan, Jualan Rahmah MADANI serta Mobile Community Services yang melibatkan 34 agensi Persekutuan dan negeri.

Bagi Parlimen Kudat, seramai 14,001 ketua isi rumah direkodkan sebagai penerima bantuan Syukur sebanyak RM200 sebulan, berdasarkan data terkini kerajaan negeri.

Beliau berkata, pendekatan menghimpunkan pelbagai agensi di satu lokasi membolehkan penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapatkan perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah tanpa perlu berurusan di lokasi berasingan.

Katanya, program itu diselaraskan melalui kerjasama agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, Pejabat Daerah serta pejabat wakil rakyat, dan diharap dapat diperluas ke kawasan Dewan Undangan Negeri lain.

Must Watch Video

Advertisement