Seramai 347 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi Ops Bersepadu Khas yang bermula 22 Nov sehingga semalam di Cameron Highlands.

Operasi bersepadu yang dijalankan setiap hari di beberapa buah pekan di kawasan tanah tinggi ini melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Wan Zahari Wan Busu, mereka yang ditahan terdiri daripada 127 warga Indonesia, Bangladesh (77), Myanmar (66), Nepal (50), India (12), Kemboja (enam), Pakistan (lima), dan Sri Lanka (empat).

Katanya selain daripada menjalankan operasi bersepadu, pihaknya turut melaksanakan sekatan jalan raya di empat laluan masuk ke Cameron Highlands yang beroperasi 24 jam.

"Setakat ini dengan bantuan PGA (Polis Gerakan Am) dan ATM, kami melakukan rondaan dan pemeriksaan di kawasan hutan yang telah dikenal pasti tempat persembunyian PATI," katanya kepada Bernama, semalam.

Ditanya tentang jumlah tangkapan yang sedikit, DSP Wan Zahari berkata jumlah tangkapan tersebut adalah yang dilaksanakan menerusi Ops Bersepadu Khas sahaja, dan tidak termasuk jumlah tangkapan yang dilaksanakan oleh jabatan penguat kuasa yang lain.

Dalam operasi semalam yang bermula pukul 12 tengah malam di sekitar Brincang dan Kuala Terla, katanya sebanyak 12 PATI berjaya ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa.