MALAYSIA

3,473 anggota ATM tamat latihan peralihan - Khaled Nordin

Faida Rahim 03/06/2025 | 05:32 MYT
Khaled pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia RPEL dan Sijil Perhebat di Sungai Buloh pada Selasa. - Foto Astro AWANI
SUNGAI BULOH: Seramai 3,473 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menamatkan Latihan Peralihan di seluruh Malaysia dan 514 anggota serta veteran ATM dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia menerusi inisiatif Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).


Ringkasan AI
  • Latihan peralihan ATM berjaya: Seramai 3,473 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menamatkan Latihan Peralihan, manakala 514 anggota serta veteran dianugerahkan Diploma Kemahiran Malaysia melalui Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL).
  • Perhebat sebagai pemacu kerjaya veteran: Kementerian Pertahanan komited memperkasa PERHEBAT sebagai institusi utama dalam membantu veteran ATM menjalani kehidupan berdikari dan produktif melalui pemadanan kemahiran dan peluang pekerjaan.
  • Kerjasama industri untuk manfaat veteran: Sebanyak lapan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Perhebat dan pihak industri bagi menyediakan peluang pekerjaan, keusahawanan, serta latihan kepada bakal pesara dan veteran ATM.


Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan komited memperkasa Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sebagai penghubung kerjaya kedua veteran selari dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP).

"PERHEBAT mesti menjadi institusi yang membantu membangunkan kelangsungan kesejahteraan anggota dan veteran ATM.

“Dalam usaha menyediakan latihan dan mengendalikan proses peralihan, PERHEBAT mesti bergerak dengan cara yang memastikan para veteran ATM dapat hidup secara berdikari, sejahtera dan produktif melalui latihan peralihan yang mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian bersempena Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia RPEL dan Sijil Perhebat di Sungai Buloh pada Selasa.

Ulas beliau lagi, kehadiran Perhebat dalam pasaran kerja malah membuka banyak ruang pemadanan kemahiran dan pekerjaan yang berkualiti kepada anggota yang sedang menjalani fasa peralihan.

"Kita mesti berlapang dada dan sentiasa bersikap terbuka untuk menerima hakikat bahawa masih banyak ruang penambahbaikan dan pemantapan yang perlu kita usahakan demi memperluas manfaat PERHEBAT kepada warga veteran.

"Dengan keutamaan strategik ini, amat penting untuk Perhebat bertindak dengan lebih proaktif, inovatif dan bersandarkan orientasi pasaran agar dapat menjadi institusi yang lebih dinamik dan berkesan terhadap kelangsungan kesejahteraan anggota dan veteran ATM," katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut menyaksikan lapan memorandum persefahaman (MoU) dan nota persefahaman (NoU) dimeterai antara Perhebat dengan pihak industri bagi memanfaatkan Bakal Pesara dan Veteran ATM dalam skop penempatan pekerjaan, peluang keusahawanan serta program-program latihan.

Ia merangkumi Boustead Petroleum Marketing (BHPetrol), Askar Timbalan Setia Negeri Johor, Maxis Broadband, TAB Security, Kamatech Automotive & Engineering, Hexide Engineering, AMS Caddy Academy dan Nur Lembah Pangsun Eco Resort.




#ATM #Mohamed Khaled Nordin #perhebat