MALAYSIA

35 aktiviti menarik menanti pengunjung sempena sambutan Minggu Perpaduan Kebangsaan 2025

Bernama 13/07/2025 | 21:00 MYT
Dengan tema 'Harmoni Dalam Kepelbagaian', Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 akan menjadi platform utama dalam memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang. - Facebook Kementerian Perpaduan Negara
KUALA LUMPUR: Sebanyak 35 aktiviti menarik menanti pengunjung sempena Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang bermula dari 17 hingga 20 Julai ini.

Majlis perasmian sambutan berkenaan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10.30 pagi, 19 Julai.

Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara pengisian menarik termasuk pameran Rumah KAMI (rumah etnik), Perkampungan Etnik Kadazan Dusun dan Orang Asli, Pameran Malaysia Tanah Airku, pameran Susur Masa oleh Jabatan Muzium Malaysia serta Pavilion Perpustakaan Malaysia.

Turut diadakan ialah program Food Unites, Jualan MADANI, jualan kraf tangan dan produk usahawan tempatan termasuk pesta durian, Larian Uniti, sukan tradisional, kejohanan e-sukan, Kembara Ilmu, Pesta Buku Pulau Pinang, Wayang Pacak, Pertandingan Boria Terbuka, Peragaan Busana Tradisional dan Pertandingan Tarian Etnik Sekolah Rendah.

Sempena minggu perpaduan itu juga, pelbagai perkhidmatan secara terus kepada rakyat disediakan termasuk diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), serta pengurangan kompaun pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Menurut kenyataan itu, beberapa pameran melibatkan agensi kerajaan dan aset keselamatan turut diadakan bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap fungsi serta peranan agensi-agensi terlibat.

Bagi menyerikan lagi sambutan itu, barisan artis terkenal tanah air seperti Datuk Awie, Stacy, Jaclyn Victor, Black Hanifah, Shila Zikir dan Suki Low dijadual membuat persembahan, selain persembahan khas daripada kumpulan nasyid Hijjaz dan Inteam.

"Dengan tema "Harmoni Dalam Kepelbagaian", sambutan ini akan menjadi platform utama dalam memperkukuh perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan latar belakang menerusi penglibatan secara langsung masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang bersifat inklusif.

"Objektif utama penganjuran ini adalah untuk merapatkan jurang perbezaan serta memupuk semangat kebersamaan dan saling menghormati yang menjadi asas kekuatan negara," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



#Minggu Perpaduan Kebangsaan #aktiviti menarik #Stadium Batu Kawan #pulau pinang