MALAYSIA

358,000 pengguna telah daftar MyNIISe

Bernama 30/10/2025 | 15:30 MYT
Mohamad Fazli bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek VMS di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, hari ini. - Gambar Bernama
ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 358,000 pengguna telah mendaftar Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) kod QR laluan di pintu masuk sempadan Johor-Singapura setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh bagaimanapun berkata kadar pendaftaran dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah berbanding jangkaan dan berharap lebih ramai akan menggunakannya.

"Bagi laluan motosikal yang mula dilaksanakan pada 15 Okt, kira-kira 15,000 rakyat Malaysia dan 800 warga Singapura telah menggunakan sistem ini dalam dua minggu pertama," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penyerahan Projek Variable Message Signage (VMS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat tujuh lorong motosikal keluar dilengkapi sistem MyNIISe di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru, manakala di KSAB melibatkan masing-masing empat di lorong masuk dan keluar.

Mohamad Fazli berkata lorong motosikal masuk tambahan di BSI juga sedang dipasang sistem MyNIISe dengan setakat ini, pengguna memberi maklum balas positif terhadap kemudahan berkenaan.

Beliau menggesa lebih ramai rakyat Malaysia memuat turun aplikasi MyNIISe dan mendaftar memandangkan sistem itu boleh digunakan untuk kereta, motosikal dan bas.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fazli berkata, projek penggantian dan penambahan VMS atau paparan maklumat boleh ubah di KSAB yang bernilai RM3.6 juta berjaya disiapkan tiga bulan lebih awal daripada jadual asal.

Beliau berkata projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijadualkan siap pada Disember 2025, namun berjaya disiapkan September lepas.

Sebanyak 14 unit VMS dipasang di kawasan kompleks itu bagi menambah baik sistem penyampaian maklumat di pintu masuk negara itu.

"Sebelum ini kita menggunakan kaedah manual seperti kain rentang dan sepanduk, namun dengan adanya VMS ini, segala maklumat boleh dipaparkan secara elektronik dan boleh digunakan untuk menyambut kedatangan pelancong, termasuk sempena Tahun Melawat Johor 2026," katanya.

Beliau berkata sistem VMS juga akan dipasang di BSI melalui projek penggantian baharu yang sedang berjalan.

-- BERNAMA


#MyNIISe #Jabatan Kerja Raya #kod QR #kain rentang