JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seramai 36 lelaki tempatan di negeri ini kerana melanggar syarat lesen dan permit penjualan mercun serta bunga api, dalam operasi sejak 28 Mac sehingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kesemua lelaki berusia 17 hingga 55 tahun itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan di bazar Aidilfitri dan premis yang dijalankan di negeri ini dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata sebanyak 712 mercun dan bunga api pelbagai jenis turut dirampas dalam operasi itu.

"Mereka ditahan kerana didapati melanggar syarat lesen, kerana telah dinyatakan jenis mercun dan bunga api yang dibenarkan untuk dijual, tetapi pelesen menjual mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan.

"Tiga warga asing yang merupakan pekerja di premis jualan mercun dan bunga api turut ditahan dalam operasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dengan 18 daripadanya telah dituduh di mahkamah.

"Baki 15 lagi kertas siasatan masih dalam proses untuk melengkapkan siasatan untuk pertuduhan," katanya.

Sementara itu, mengenai Op Selamat 20, beliau berkata Johor setakat ini mencatatkan sebanyak 1,584 kes kemalangan dengan 18 kemalangan maut.

Kamarul Zaman berkata sebanyak 2,910 saman juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Beliau berkata seramai 91 individu turut ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, 31 ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) APJ 1987, lapan ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua mengikut Seksyen 108 APJ 1987.

-- BERNAMA