PUCHONG: Polis berjaya menyelamatkan seramai 37 wanita warga asing disyaki menjadi mangsa eksploitasi untuk kegiatan persundalan menerusi serbuan di sekitar Selangor, pada khamis.

Serbuan Op Noda Khas bermula jam 5 petang itu dijalankan sepasukan Bahagian D14 Siasatan Jenayah Terancang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di 16 premis termasuk pusat hiburan membabitkan Petaling Jaya (tiga), Serdang (enam), Gombak (empat) dan Klang (tiga).

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus berkata, polis berjaya menyelamatkan 37 wanita membabitkan 19 warga Indonesia, Vietnam (15), manakala masing-masing seorang dari Thailand, China dan Kemboja.

"Operasi melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan juga bertindak menahan 92 individu.

"Tangkapan membabitkan 15 warga tempatan termasuk dua wanita selain 77 warga asing iaitu 76 wanita serta seorang lelaki," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, antara barang dirampas ialah minyak urut, tisu basah, tuala mandi, kondom, wang tunai serta buku catitan pelanggan.

Katanya, tindakan diambil bawah Seksyen 12 Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tegas Fadil, operasi pembanterasan kegiatan pemerdagangan orang dan maksiat akan diteruskan bagi menaikkan keyakinan masyarakat kepada PDRM.

"Masyarakat diminta sentiasa menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti-aktiviti haram kepada pihak polis," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian yang menyertai operasi di salah sebuah premis yang diserbu di Puchong mendapati terdapat beberapa pengunjung termasuk warga emas cuba mendapatkan khidmat seks.

Premis tiga tingkat dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan terletak di kawasan agak bersembunyi itu dipercayai mengenakan harga lingkungan RM190 hingga RM280 untuk khidmat seks manakala RM70 untuk urutan badan.

Tinjauan turut mendapati premis itu menyediakan bilik berhawa dingin dan bilik mandi di setiap bilik. - Sinar Harian