370 sekolah luar bandar di Sarawak bakal terima air terawat

Nickyson Nyambar
Mac 6, 2020 11:55 MYT
Abdul Rahman (tengah) ketika mempengerusikan mesyuarat di kementeriannya bagi memperkemaskan projek bekalan air terawat di sekolah-sekolah di Sarawak. -Gambar Kementerian Utiliti Sarawak
Sebanyak 370 buah sekolah di Sarawak bakal disambung dengan air bersih dalam sasaran Sarawak melaksanakan 100 peratus liputan bekalan air di negeri itu menjelang 2025.
Dalam memperkasa perancangan itu, Kerajaan Sarawak menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan air terawat disediakan buat sekolah-sekolah dan institusi awam terutamanya di kawasan luar bandar.
Menurut Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ini akan memastikan pelajar dan pendidik mendapat kemudahan asas itu secara berterusan.
Dalam perkembangan berkaitan, bagi tahun 2019 dan 2020, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM9 juta untuk penyambungan bekalan air terawat ke 34 sekolah.
“Daripada jumlah tersebut, 26 buah sekolah telahpun siap pelaksanaannya manakala 8 lagi dijangka siap pada tahun ini,” katanya.
Inisiatif ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Utiliti Sarawak, Kementerian Pendidikan Sains dan Penyelidikan Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak(JPNS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Untuk rekod, daripada 1,459 sekolah di Sarawak, 370 sekolah yang disenarai masih bergantung pada bekalan air menerusi telaga tiub, tadahan hujan, sumber graviti dan loji air setempat.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat dipengerusikannya bagi memperkemaskan pelaksanaan projek bekalan air di sekolah-sekolah di Sarawak pada Rabu di Kementerian Utiliti di Kuching.
VIDEO: Kerajaan Sarawak merancang untuk menyediakan bekalan air terawat buat 370 sekolah luar bandar
#Astro Awani #AWANI Sarawak #Bekalan Air Terawat #Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi #JBALB #Kementerian Utiliti #Sarawak 2030