MALAYSIA

38 individu disyaki bawah pengaruh dadah ditahan

Bernama 21/05/2017 | 10:10 MYT
Anggota polis menahan sekumpulan 27 remaja Melayu terdiri daripada 27 lelaki dan 11 perempuan yang sedang menari dan berhibur dengan muzik yang kuat dipercayai di bawah pengaruh dadah di sebuah resort di Minyak Beku pagi tadi. - Foto BERNAMA
Seramai 38 individu termasuk 11 wanita yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ditahan dalam serbuan di sebuah pusat peranginan di Jeti Minyak Beku, Batu Pahat dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kesemua mereka yang berusia antara 19 dan 32 itu ditahan pada pukul 7 pagi ketika sedang berpesta ''lalok'' iaitu menari dan berhibur dengan iringan muzik yang kuat di sebuah bilik pusat peranginan berkenaan.

"Serbuan itu menahan 27 lelaki dan 11 wanita dengan seorang daripadanya merupakan penganjur pesta terbabit.

"Selain itu, polis merampas sejumlah alat muzik dan pesta dipercayai sudah berlarutan sejak Januari lalu tetapi lokasinya sentiasa berubah," kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

--BERNAMA
#Dadah #Jeti Minyak Beku #lalok #pesta #serbuan