Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

38,804 PMKS terima manfaat digitalisasi perkhidmatan menerusi GDPM pada 2024 - Teo

Bernama 10/08/2025 | 05:34 MYT
Teo (tengah) melakukan pemeriksaan tekanan darah semasa melawat reruai pameran sempena perasmian Program Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 anjuran MCMC hari ini. - foto Bernama
JOHOR BAHRU: Sebanyak 38,804 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara berjaya didigitalkan menerusi Geran Digital PMKS Madani (GDPM) pada 2024, melibatkan kelulusan berjumlah RM89.6 juta.


Ringkasan AI
  • Digitalisasi PMKS Meluas: Sebanyak 38,804 PMKS berjaya didigitalkan melalui Geran Digital PMKS Madani (GDPM) pada tahun 2024, melibatkan peruntukan RM89.6 juta.
  • Fokus Sektor Kesihatan: Sebanyak 2,838 klinik dan farmasi telah menerima geran, dengan sasaran 50% penyertaan sektor kesihatan swasta dalam program GDPM tahun ini.
  • Komitmen Berterusan Kerajaan: Kerajaan meluluskan tambahan RM50 juta bagi 2025 untuk memperkasa PMKS, selari dengan teras digitalisasi dalam RMK-13 dan usaha membentuk ekosistem kesihatan yang inklusif dan cekap.


Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, 2,838 penerima terdiri daripada klinik dan farmasi, iaitu kira-kira 19 peratus daripada keseluruhan premis tersebut di seluruh Malaysia, berdasarkan data Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

"Pencapaian ini membuktikan keberkesanan GDPM dalam membantu PMKS mendigitalkan perkhidmatan mereka. Tahun ini, kami memberi tumpuan kepada sektor kesihatan dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus klinik dan farmasi swasta menyertai program ini," katanya pada sidang media GDPM Fest 2025 di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi tahun 2024, kerajaan telah menyalurkan peruntukan RM90 juta kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi penyedia perkhidmatan telekomunikasi, dengan hampir keseluruhan geran berjumlah RM89.6 juta dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagi tahun ini, katanya, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta, dengan RM30 juta daripadanya disalurkan kepada MCMC melalui syarikat telekomunikasi bagi memperkasa PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan.

"Ini adalah komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif digitalisasi yang menjadi teras dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13)," katanya.

Mengenai GDPM Fest 2025 anjuran MCMC hari ini, Teo berkata program itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan, tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi.

Beliau berkata, usaha ini merupakan langkah konkrit ke arah membentuk ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Program itu akan diteruskan di Kuantan, Pahang, dan Kota Kinabalu, Sabah, dengan sokongan rakan strategik termasuk Kementerian Kewangan, Bank Simpanan Nasional, MMA, Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti Maxis, Digi dan Telekom Malaysia, serta pembekal penyelesaian digital.

"Kami berharap lebih banyak klinik dan farmasi swasta mengguna pakai penyelesaian digital melalui geran ini bagi menggalakkan transformasi digital," katanya.

-- BERNAMA




#perusahaan mikro kecil dan sederhana #Geran Digital PMKS Madani #Teo Nie Ching #Malaysian Medical Association