KUALA LUMPUR: Sindiket perjudian dalam talian berjaya ditumpaskan dengan penahanan 39 individu dalam serbuan di sebuah premis sekitar kawasan Jalan Bangsar, Kampung Haji Abdullah Hukum di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

"Serbuan dijalankan berjaya memberkas 19 lelaki warga tempatan, 11 wanita warga tempatan, tujuh lelaki warganegara Bangladesh dan dua lelaki warganegara Pakistan berusia 20 hingga 47 tahun.

"Serbuan dijalankan kira-kira jam 5 petang oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman bersama sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Brickfields dan Ibu Pejabat Polis Kontijen(IPK)Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, pelbagai barangan turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan itu.

"Antara yang dirampas adalah 36 laptop pelbagai jenama, empat monitor, tiga buah CPU, lima telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai barangan lain.

"Kesemua individu yang ditahan tidak mengaku bekerja sebagai operator perjudian online, mereka hanya mengaku bekerja sebagai khidmat pelanggan sahaja dan tidak melibatkan sebarang transaksi wang, bagaimanapun, hasil pemeriksaan terhadap komputer dan telefon bimbit yang dirampas mendapati wujud unsur perjudian online," katanya.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua tangkapan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 5 hingga 9 April 2021.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berdekatan," katanya.

Berita asal: 39 individu ditahan terlibat perjudian atas talian