LIPIS: Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar di wajah 391 penerima Notis 5A Skim Tanah Rakyat (STR) membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah Lipis atas pemberian tanah dari Kerajaan Negeri Pahang.

Seorang penerima dari Kampung Jeram Bungor, DUN Cheka, Mamat Che Haron, 76, berkata, dia menzahirkan rasa bersyukur apabila impian untuk memiliki sebidang tanah kini tercapai.

"Sebelum ni pak cik tak pernah ada tanah, nak beli sendiri tak mampu sebab mahal. Duit pendapatan hasil dari kerja kampung pun hanya lepas untuk beli keperluan harian sahaja.

"Bila dimaklumkan pak cik layak terima STR ini, sudah tentu rasa gembira tak terkata. Saya rancang nak tanam pokok buah, nanti boleh anak cucu makan hasil," katanya.

Penyerahan Notis 5A STR Daerah Lipis membabitkan 391 penerima membabitkan empat kawasan DUN iaitu Jelai, Padang Tengku, Benta dan Cheka telah disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Lipis di sini pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, kerajaan negeri juga menyerahkan pemberimilikan individu melibat tiga kawasan DUN iaitu Jelai, Padang Tengku dan Cheka kepada 59 peserta bagi tujuan pertanian dengan keluasan keseluruhan 73.0942 hektar.

Sempena majlis itu, Wan Rosdy turut menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada pelbagai agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di daerah Lipis membabitkan peruntukan bernilai RM90,450.

Seorang lagi penerima Nur Azira Azizan, 32, dari Kampung Kerambit, Dun Cheka berkata, dia berasa syukur dan berterima kasih kepada kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonan penduduk di daerah ini.

"Saya kira pemberian tanah ini adalah langkah tepat dalam memberi peluang kepada penduduk khususnya golongan belia untuk memiliki aset.

"Pemberian STR ini mampu menarik golongan muda untuk terus menetap di kampung dan mengusahakan pelbagai projek pertanian," katanya.