Skip to main content

Malaysia

3,965 hektar hutan paya laut dipulihkan, 9.3 juta pokok ditanam

3,965 hectares of mangrove forest restored, 9.3 million trees planted - Arthur _BERNAMA
Tengku Sarafudin Badlishah (tengah) berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut  Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Alor Setar, malam tadi. Hadir sama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) dan Mohd Radhi Chu Abdullah. - Gambar Bernama
Advertisement

ALOR SETAR: Kawasan hutan paya laut seluas 3,965 hektar di seluruh negara berjaya dipulihkan melalui penanaman lebih 9.3 juta pokok bakau dan spesies yang sesuai.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kejayaan itu ialah hasil komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara dan memulihara ekosistem pesisiran pantai. 

"Sehingga 2025, RM71.3 juta diperuntukkan melalui Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies yang Sesuai di Pesisiran Pantai Negara bagi melaksanakan aktiviti penanaman, penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan serta kesedaran awam.

"Bagi meneruskan agenda ini, RM2 juta diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), khusus bagi melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya laut serta kawasan pesisiran pantai bagi 2026 melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Radhi Chu Abdullah pada Majlis Perasmian Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut  Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang bertemakan "Ekosistem Hutan Paya Laut Ke Arah Kelestarian Ekonomi Biru" di sini, malam tadi.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis berkenaan.  

Arthur berkata, usaha pemuliharaan hutan paya laut dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hutan Sarawak dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) serta pelbagai pihak berkepentingan. 

Beliau berkata, penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat turut menjadi antara faktor penting dalam memastikan usaha pemuliharaan dapat dilaksanakan secara berterusan, menerusi aktiviti pendidikan alam sekitar, kesedaran awam dan pemuliharaan ekosistem. 

Pada majlis itu, Tuanku Raja Muda Kedah turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan kepada NGO dan komuniti yang telah menzahirkan komitmen tinggi dalam memelihara ekosistem hutan paya laut, iaitu Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Kampung Taman Nilam, Kelab Pendidikan dan Kebajikan Puncak Lembah Bujang serta Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia. 

Seminar Hutan Paya Laut dan Pesisiran Pantai Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 oleh JPSM dengan kerjasama FRIM turut dilanjurkan dengan menampilkan 12 kertas kerja dan 15 poster teknikal serta sembilan reruai pameran tentang pelbagai aspek berkaitan pengurusan, penyelidikan dan pemuliharaan hutan paya laut. 

Platform itu menyediakan ruang kepada para penyelidik, pegawai teknikal, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan untuk berkongsi ilmu serta amalan terbaik bagi memperkukuh pengurusan ekosistem hutan paya laut negara. 

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement