3R: Pegawai MP Bentong lapor polis terhadap ADUN Jengka

Bernama
September 13, 2023 15:00 MYT
Ahmed Wafiuddin mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan yang menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Ahmad Zahid dan DAP. - Gambar fail/PDRM
KUANTAN: Pegawai khas Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, Ahmed Wafiuddin Shamsuri membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka Shahril Azman Abd Halim yang didakwa memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) di akaun TikTok beliau.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Manchis di Bentong pada petang ini.
Ahmed Wafiuddin mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan yang menyentuh hak Bumiputera selain turut menyentuh nama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan DAP.
"Pemilik akaun ini jelas menyebarkan satu fitnah jahat dan memainkan sentimen 3R yang bahaya dan boleh mengganggu-gugat ketenteraman serta (menimbulkan) kegusaran dalam masyarakat," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Bernama.
Ahmed Wafiuddin juga mendakwa video itu turut menunjukkan Shahril Azman yang merupakan ADUN daripada PAS, sedang berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan.
PRK Pelangai diadakan ekoran penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya itu berlangsung pada 7 Okt dengan hari penamaan calon pada 23 Sept manakala hari pengundian awal ialah 3 Okt ini.
-- BERNAMA
#isu 3R #laporan polis #Young Syefura Othman #Ahmed Wafiuddin Shamsuri