IPOH: Polis Perak mengingatkan orang ramai yang menyertai upacara sambutan Thaipusam supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas sekurang-kurangnya empat kes pelanggaran SOP dikesan pada Ahad.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata empat kompaun dikeluarkan atas kesalahan membabitkan kegagalan memakai pelitup muka dan membawa kanak-kanak ketika upacara perarakan.

Katanya, pelanggaran SOP itu dikenal pasti dilakukan di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh dekat sini.

"Walaupun proses perarakan semalam berjalan lancar namun, masih ada individu yang berdegil melanggar SOP yang telah ditetapkan dan individu yang dikenakan tindakan itu sebenarnya tidak terlibat pun dalam upacara sembahyang atau perarakan pedati," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya netizen, supaya tidak membuat hantaran atau komen negatif mengenai sambutan itu di media sosial.

"Kita kena terima hakikat bahawa negara kita ada berbilang kaum, berbilang agama, kena ada rasa saling hormat-menghormati. Saya ingin memberi amaran tegas kepada mereka-mereka yang suka memecahkan keamanan negara dengan tulis komen-komen negatif dan sebagainya.

"Kita pihak polis akan pantau, kalau ada komen-komen negatif, di media sosial dan sebagainya, kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka-mereka yang cuba hendak melaga-lagakan, untuk memporak-perandakan keamanan di negara kita," katanya.

Menurutnya, seramai 400 pegawai dan anggota ditempatkan di Ipoh dan Sungai Siput bagi memantau perjalanan sambutan Thaipusam tahun ini.

Beliau turut mengingatkan penganut agama Hindu bahawa perarakan membawa kavadi tidak dibenarkan dan tindakan tegas akan diambil jika ada pihak yang melanggar SOP itu.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan sebuah kedai memproses kacang putih, DNS Kacang Putih di Buntong di sini yang musnah dalam kebakaran pada awal pagi semalam, didakwa berpunca daripada perbuatan khianat.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu laporan siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca kebakaran.

Dalam kejadian jam 1.08 pagi semalam, kedai yang menjual pelbagai bahan kudapan itu musnah dalam kebakaran dan turut melibatkan kemusnahan sebuah rumah dua tingkat, van dan motosikal namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.