Empat lagi peniaga akan didakwa minggu ini atas kesalahan menyorok bekalan minyak masak dan menyimpan melebihi daripada bekalan yang dibenarkan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh, ia adalah sebagai tambahan kepada lapan dakwaan sebelum ini sejak pengumuman kerajaan memansuhkan subsidi minyak di dalam botol berkuat kuasa bulan ini.

"Setakat ini, kami telah membuat 44 tangkapan sejak pengumuman itu dibuat, lapan daripadanya telah didakwa di mahkamah.

"Empat lagi akan dikenakan sepanjang minggu ini, dan ini adalah satu angka yang besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ‘MyData SSM' di sini, hari ini.

Menurut beliau, empat kes baharu itu dilaporkan di, Kelantan (2) Selangor (1) dan Sarawak (1), manakala lapan yang sebelum ini berada di Selangor (3), Pulau Pinang (1), Kedah (1), Perak (1), Kuala Lumpur (1) dan Melaka (1).

Dalam masa yang sama, beliau berkata, walaupun pembelian minyak masak secara pukal dari pengguna masih ada namun bilangannya sudah berkurangan dan isu minyak masak dijangka akan pulih minggu ini.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa mesyuarat peringkat kementerian untuk membincangkan mekanisme untuk menangani isu itu akan dijalankan tidak lama lagi.

Mulai 1 Nov, KPDNKK mengumumkan harga bagi minyak masak di dalam botol kini dijual mengikut harga yang ditetapkan oleh pengeluar manakala harga minyak masak peket satu kg, kekal pada RM2.50.