4 lagi kluster baharu direkodkan, 198 diisytihar tamat - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Disember 5, 2020 10:55 MYT
Dr Noor Hisham berkata, kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Bulatan iaitu sebanyak 162 kes, Kluster Ria-30 (51) dan Kluster Batu Tujuh (39).
KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kluster baharu dilaporkan pada Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini sebanyak 385 kluster, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, empat kluster baharu itu adalah Kluster Batu Tiga melibatkan daerah Tawau dan Kluster Jalan Domis di daerah Penampang, Kota Kinabalu dan Tongod di Sabah.
Dua lagi adalah Kluster Andalas melibatkan daerah Klang di Selangor dan Kluster Tapak Bina Bulatan melibatkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.
"Sehingga 5 Disember, terdapat sebanyak 385 kluster telah dilaporkan termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.
"Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 198 kluster termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Fores, Kluster Aero, Kluster Sungei Way, Kluster Baki dan Kluster Seladah.
"Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
Katanya, kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Bulatan iaitu sebanyak 162 kes, Kluster Ria-30 (51) dan Kluster Batu Tujuh (39).
#Kementerian Kesihatan #Dr Noor Hisham Abdullah #kluster #baharu #COVID-19 #Kluster baharu #Sabah #Lembah Klang #Selangor