KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka, Johor, Pahang dan Sabah terus mencatat peningkatan malam ini, Terengganu kekal manakala Negeri Sembilan merekodkan penurunan.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,778 orang daripada 462 keluarga pada 8 malam berbanding 1,661 orang daripada 429 keluarga pada 4 petang.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan empat di Jasin.

"Seramai 799 orang daripada 217 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Alor Gajah, 903 orang daripada 228 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Melaka Tengah serta 76 orang daripada 17 keluarga ditempatkan di dua PPS di Jasin," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Di JOHOR, dua daerah menjadi kawasan terbaharu terjejas banjir iaitu Johor Bahru dan Kluang setakat 8 malam.

[LAPOR LANGSUNG] MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di beberapa negeri

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata lapan PPS baharu dibuka iaitu lima di Segamat, satu di Johor Bahru dan dua di Kluang.

"Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,553 orang daripada 653 keluarga malam ini berbanding 2,022 orang daripada 512 keluarga petang tadi," menurutnya dalam kenyataan.

Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,366 orang diikuti Kota Tinggi (113 orang), Tangkak (51), Kluang (22) dan Johor Bahru seorang.

Di PAHANG, mangsa banjir terus meningkat malam ini dengan sejumlah 2,137 orang masih berada di 49 PPS di lapan daerah berbanding 2,058 pada sebelah petang, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri.

Daerah terbabit iaitu Raub, Lipis, Jerantut, Maran, Bera dan Rompin dilanda banjir gelombang kedua manakala Temerloh dan Pekan masih mempunyai mangsa banjir yang berlaku pada pertengahan bulan lepas.

Antara jalan yang masih ditutup ialah Jalan Bentong-Gua Musang di Lipis, Jalan Ulu Dong (Raub), Jalan Sungai Lembing (Kuantan), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan) dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran).

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan enam sungai melebihi paras bahaya iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah dan Sungai Jelai di Lipis, Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut), Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Padang Gudang (Bera) dan Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran).

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,823 orang daripada 599 keluarga malam ini berbanding 1,249 orang daripada 432 keluarga petang tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan empat PPS baharu dibuka di Kota Marudu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11 yang menempatkan 1,474 orang daripada 520 keluarga sekali gus merupakan daerah dengan mangsa banjir paling ramai setakat ini.

Satu PPS baharu dibuka di daerah kecil Paitan menjadikan tiga PPS beroperasi menempatkan 81 orang daripada 18 keluarga manakala tiga PPS di Telupid menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga.

Selain itu, satu PPS dibuka masing-masing di tiga daerah dengan Sandakan menempatkan 151 orang daripada 35 keluarga diikuti Beluran (38 orang daripada lapan keluarga) dan Pitas (36 orang daripada 10 keluarga).

Pemantauan mendapati Sungai Bongon di Kota Marudu berada pada paras berbahaya manakala Jalan Langkon Pitas dan Jalan Bolatan Gosen di daerah itu hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Menurut sekretariat itu, kejadian tanah runtuh juga dilaporkan di Jalan Kompleks Sukan di daerah Ranau dan Kampung Warisan di Kinabatangan namun tanpa kejadian tidak diingini.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 20 PPS menurun kepada 1,892 individu daripada 505 keluarga setakat 9 malam berbanding 1,973 orang daripada 532 keluarga pada 4 petang.

TERENGGANU pula menyaksikan jumlah mangsa banjir kekal 137 orang daripada 42 keluarga di dua PPS di daerah Dungun.

PPS yang masih beroperasi ialah Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata pihaknya masih memantau trend turun naik air sungai yang terletak berdekatan kedua-dua kampung.

"Sekiranya paras air sungai tidak lagi membimbangkan, mangsa dibenarkan pulang esok dan dua PPS itu akan ditutup namun kita tetap berwaspada dengan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia," katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan dua sungai merekodkan ketinggian melepasi paras amaran malam ini iaitu Sungai Terengganu di jambatan angkat dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman.

Di SELANGOR, enam keluarga di sekitar Sungai Nangka di Banting, Kuala Langat terpaksa ditempatkan di PPS selepas air setinggi 0.6 meter mula memasuki rumah mereka petang tadi ekoran hujan yang tidak berhenti sejak pagi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata anggotanya tiba di lokasi pada kira-kira 8 malam bagi operasi memindahkan 15 mangsa ke PPS berhampiran iaitu Dewan Orang Ramai Sri Langat.

"Ketika ini, trend masih mencatatkan peningkatan namun masih terkawal. Kita telah gerakkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting bagi memindahkan mangsa yang terjejas.

"Penduduk juga disarankan berpindah sekiranya paras air semakin tinggi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan berhubung kenaikan air dan kejadian banjir melibatkan kawasan serta daerah lain di Selangor.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya, buruk dan waspada yang dijangka berlaku di kebanyakan negeri hingga Selasa ini .

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan negeri terbabit ialah Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

-- BERNAMA