4 sampel COVID-19 dari Parlimen dipercayai varian Delta - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Ogos 1, 2021 15:11 MYT
Dr Noor Hisham menjelaskan, kajian klinikal telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Empat sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil daripada saringan yg dijalankan di Parlimen menunjukkan terdapat unsur berkaitan varian Delta atau varian Kappa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham menjelaskan keputusan itu dikeluarkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang menerima empat sampel daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh.
"Hasil daripada PCR Genotyping Assay, kesemua 4 sampel menunjukkan mutasi pada spike protein yang dikenal pasti wujud pada varian Delta atau varian Kappa.
"Namun berdasarkan VOC (varian yang membimbangkan) yang sedang menular di dalam komuniti, ia berkemungkinan besar adalah varian Delta," katanya menerusi Twitter, malam ini.
Dr Noor Hisham jelaskan sebab penutupan Parlimen
Dr Noor Hisham menjelaskan, kajian klinikal telah melaporkan bahawa kes yang dijangkiti varian Delta mempunyai kandungan virus 1,200 kali lebih tinggi berbanding kes yang dijangkiti dengan varian biasa (non-VOC).
"Penjujukan genom penuh akan dijalankan bagi pengesahan selanjutnya," katanya lagi.

IMR telah menerima 4 sampel RT PCR kes positif COVID-19 hasil drp saringan yg dijalankan di Parlimen untuk analisis jujukan genom penuh (whole genomic sequencing). Sampel2 ini telah diterima daripada Makmal Kesihatan Awam Sungai Buloh. pic.twitter.com/p5UTanfYRy

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) August 1, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham memaklumkan keadaan individu yang ramai ketika sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang berlangsung bermula 26 hingga 29 Julai lalu telah mencetuskan kebimbangan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melihat kepada kadar penularan COVID-19.
Mesyuarat Khas Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 2 Ogos telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
#Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #COVID-19 #Varian Delta #Parlimen #Mesyuarat Khas Parlimen #Penutupan Parlimen #sidang ditangguhkan