MELAKA: Sebanyak 40 lokasi di sekitar Ayer Keroh dan Bandar Melaka dijangka siap menerima liputan 5G menjelang hujung September ini daripada 133 lokasi yang disasarkan bagi fasa pertama pelaksanaan rangkaian berkenaan di negeri ini.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata pelaksanaan rangkaian 5G oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) melalui Digital Nasional Berhad (DNB) itu juga akan diperluaskan melalui penggunaan perabot jalan seperti tiang lampu jalan.

"Melaka dikenal pasti antara negeri pertama mendapat liputan rangkaian 5G ini dan lokasi awal yang menerima perkhidmatan itu membabitkan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, perindustrian dan tumpuan pelancongan selain institusi pengajian tinggi.

"Justeru, pelbagai aplikasi pintar seperti Pemantauan Kecerdasan Buatan ( AI Surveillance), sensor Internet Benda (IOT sensor) untuk tujuan peningkatan keselamatan, pengangkutan dan sebagainya akan diintegrasikan menerusi infrastruktur tiang lampu pintar yang menempatkan rangkaian 5G itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada majlis pelancaran Smart Melaka Blueprint 2035 (SMB2035), pelancaran Asia's First Metaverse Immersive Experince Mall dan prapelancaran Smart Melaka International Conference 2022 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Rais berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri juga telah mewujudkan pasukan petugas pelaksanaan 5G yang dikendalikan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka untuk mempercepatkan proses kelulusan pembinaan struktur telekomunikasi di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi pemerkasaan infrastruktur kemudahan Internet secara percuma, kerajaan negeri menyasarkan 100 lokasi baharu termasuk penambahan pusat akses (AP) Internet jalur lebar (WiFi) di kawasan WiFi percuma sedia ada.

"Selain itu kerajaan negeri turut menyasarkan tambahan sebanyak sembilan lagi Pusat Digital Ekonomi Keluarga Malaysia (PEDi) diwujudkan di Melaka supaya masyarakat di luar bandar dan pinggir bandar boleh memperkasakan diri kepada kegiatan ekonomi serta menambah pendapatan melalui aktiviti ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA