Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

40 pelajar dan pensyarah UUM terkandas di Hatyai, kurang bekalan makanan

Sinar Harian 23/11/2025 | 02:50 MYT
Keadaan kawasan sekitar penginapan pelajar UUM di Wangburapa Grand Hotel dinaiki air. - Foto UUM/Sinar Harian
ALOR SETAR: Seramai 36 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama empat pensyarah pengiring terkandas di Hatyai, Thailand selepas kawasan itu dilanda banjir kilat yang menyebabkan gangguan bekalan makanan, elektrik dan air bersih.


Ringkasan AI
  • 36 pelajar UUM terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir kilat yang menyebabkan gangguan bekalan makanan, elektrik, dan air bersih.
  • Pelajar hanya bergantung kepada makanan kering terhad, bekalan elektrik terputus, dan kesukaran untuk berhubung dengan luar.
  • UUM memastikan keselamatan pelajar dan pensyarah serta memantau keadaan dengan kerjasama Konsulat Malaysia di Hatyai untuk salurkan bantuan segera.


Kumpulan pelajar dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) itu berada di negara jiran bagi menyertai program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025 dan dijadualkan pulang ke tanah air pada Sabtu.

Bagaimanapun, hujan lebat menyebabkan kawasan sekitar penginapan mereka di Wangburapa Grand Hotel dinaiki air sehingga melebihi paras kenderaan pacuan empat roda, sekali gus menyukarkan sebarang pergerakan keluar masuk.

Seorang pelajar, Mimi Nadzirah Afiqah Md Suhaimi, 21, berkata, bekalan elektrik terputus sejak awal pagi Sabtu diikuti gangguan bekalan air pada waktu malam, menyebabkan mereka kini hanya bergantung kepada makanan kering yang terhad.

“Makanan berat tiada, kami hanya bergantung pada roti yang sangat-sangat terhad. Talian telefon pun tidak stabil, susah nak berhubung dengan sesiapa.

“Kami sangat berharap ada bantuan yang boleh disalurkan, terutamanya bekalan makanan. Setakat ini, kami belum menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kemas kini yang dihantar pada jam 9.35 malam waktu tempatan kepada pihak UUM.

Seramai 36 pelajar UUM bersama empat pensyarah pengiring terkandas di Hatyai, selepas kawasan itu dilanda banjir kilat. - Foto UUM


Menurutnya, air sudah mula memasuki tingkat bawah hotel, namun semua pelajar dan pensyarah masih selamat kerana berada di tingkat lima.

“Hujan masih belum berhenti dan paras air terus meningkat. Kawasan luar hotel memang sudah dinaiki air. Kenderaan pacuan empat roda pun dah tak boleh lalu sebab air sangat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed dalam kenyataan berkata, pihak universiti memberi jaminan kebajikan serta keselamatan semua pelajar dan pensyarah terbabit menjadi keutamaan.

“UUM sedang memantau keadaan dari masa ke masa dan berhubung rapat dengan Konsulat Malaysia di Hatyai bagi memastikan semua bantuan yang diperlukan dapat disalurkan segera.

“Setakat ini, semua pelajar dan pensyarah dilaporkan selamat dan penyelarasan sedang dilakukan bagi memastikan urusan program serta perjalanan pulang dapat diteruskan sebaik keadaan kembali pulih,” katanya.

Menurutnya, keluarga pelajar dan staf UUM juga diminta agar bertenang serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.

Difahamkan, pelajar turut menerima amaran kecemasan secara berterusan melalui telefon bimbit masing-masing, menandakan keadaan banjir masih belum menunjukkan tanda-tanda surut. - Sinar Harian






#pelajar UUM terkandas #terkandas di Hatyai #banjir #hujan lebat