40 penghuni tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran selepas sahur

Rudi Affendi Khalik
Mac 22, 2024 07:21 MYT
Lapan kediaman musnah dalam satu kebakaran di Lorong 16, Kampung Haji Baki pagi tadi. -Foto JBPM Sarawak
KUCHING: Lapan kediaman musnah dalam satu kebakaran di Lorong 16, Kampung Haji Baki, di sini, pagi tadi.
Ketua Operasi Kebombaan Negeri Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, kejadian berlaku ketika penghuni selesai bersahur.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan jam 5.22 pagi dan segera mengatur gerak tiga jentera dan dua ambulans EMRS daripada Balai Batu Lintang, Tabuan Jaya dan Padungan ke lokasi, dengan kekuatan 28 anggota," kata Henderi.
Ketika bomba sampai, katanya, api telah membakar lapan buah rumah, dengan empat daripadanya musnah seratus peratus.
“Pasukan kemudian segera mengaktifkan kerja-kerja pemadaman dan menghalang api merebak lebih jauh.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.38 pagi dan kerja-kerja overhaul dijalankan untuk memastikan tiada lagi punca nyalaan.
“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba,” katanya lagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan operasi tamat sepenuhnya jam 9.22 pagi.
#Kampung Haji Baki #rumah terbakar #sehelai sepinggang #Henderi Ardimansyah