MALAYSIA

40 peratus hasil Sabah: Rundingan perlu ambil kira belanjawan negara - PM

Kabeer Aziz 13/11/2025 | 07:33 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah daripada Kerajaan Persekutuan perlu dilihat dalam konteks keseluruhan belanjawan negara.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah daripada Kerajaan Persekutuan perlu dilihat dalam konteks belanjawan negara secara keseluruhan.
  • Rundingan perlu mengambil kira peruntukan besar kepada Sabah yang meningkat daripada RM12 bilion pada 2021 kepada RM17.3 bilion menjelang 2025, termasuk tambahan seperti metrik, bank bonus dan saluran SKMM.
  • Anwar menjelaskan bahawa pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil Sabah mesti mengikut semangat perjanjian penubuhan Malaysia dan mekanisme audit serta perkongsian data perlu diputuskan melalui rundingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.


Beliau berkata, rundingan berhubung perkara itu mesti mengambil kira peruntukan besar yang telah disalurkan kepada negeri berkenaan, yang meningkat daripada RM12 bilion pada 2021 kepada RM17.3 bilion menjelang 2025.

Anwar menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini, yang meminta penjelasan sama ada tuntutan tersebut mempunyai kaitan dengan peruntukan lain yang diterima Sabah.

Takiyuddin turut bertanya mengenai takrif hasil bersih, formula pengiraan, mekanisme audit dan perkongsian data, serta kesan penghakiman mahkamah terhadap hubungan kewangan antara Persekutuan dan negeri.

“Setakat ini, kalau ikut penafsirannya, ia berasingan. Tetapi dalam rangka belanjawan, ada peruntukan tetap jadual — Persekutuan, negeri dan concurrent. Kita juga salurkan banyak tambahan seperti metrik, bank bonus dan saluran SKMM, yang sahaja sudah bernilai RM7 hingga RM8 bilion. Jadi kalau memikirkan keperluan 40 peratus, kita kena lihat belanjawan secara keseluruhan. Sebab itu rundingan ini penting,” kata Anwar di Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, prinsip tuntutan 40 peratus hasil Sabah dipersetujui, namun pelaksanaannya mesti diselesaikan melalui semangat perjanjian penubuhan Malaysia.

Takrif hasil bersih, jelas Anwar, merangkumi cukai langsung, cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai. Mekanisme audit serta perkongsian data pula akan diputuskan melalui rundingan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.

“Pelaksanaan penghakiman mahkamah tidak harus menjejaskan hubungan kewangan antara Persekutuan dan negeri, sebaliknya diselesaikan dengan semangat perjanjian penubuhan Malaysia. Kerajaan juga terbuka untuk mengkaji semula formula pengiraan agar ia adil kepada Sabah, tanpa mengabaikan tanggungjawab fiskal negara,” tegasnya.





#Anwar Ibrahim #40 peratus hasil Sabah #Dewan Rakyat #Belanjawan