KUALA LUMPUR: Sebanyak 40 tempat berteduh penunggang motosikal di sepanjang lebuh raya berjaya dibina dan disiapkan dalam tempoh lima bulan seperti disasarkan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, usaha penambahan tempat teduhan baharu itu bermula sejak suku ketiga 2023 selaras dengan fokus Kerajaan MADANI demi kesejahteraan rakyat.

Menurut Nanta, kejayaan pembinaan kemudahan itu juga hasil komitmen syarikat-syarikat konsesi yang diterajui oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menyediakan kemudahan berkenaan kepada pengguna jalan raya.

"Usaha berterusan akan digembleng untuk penyiapan tempat teduhan penunggang motosikal di 79 lokasi lain pada 2024.

"Tempat teduhan penunggang motosikal semasa hujan adalah penting bagi kemudahan dan keselamatan mereka kerana jika penunggang berteduh di tempat tidak sesuai, mereka berisiko kena rempuh dan hilang nyawa seperti kes yang pernah berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau tempat teduhan penunggang motosikal di KM11 Lebuhraya Baru Pantai, di sini, pada Khamis.

Nanta berkata, pembinaan tempat teduhan penunggang motosikal adalah tanggungjawab sosial korporat syarikat konsesi lebuh raya dan LLM serta tidak melibatkan sebarang sumbangan kewangan daripada kerajaan.

Ditanya sama ada masih terdapat penunggang motosikal yang berteduh di bawah jejantas atas alasan tempat teduhan dibina tidak strategik, beliau menjelaskan, kemudahan berkenaan dibina mengikut keselesaan semua pihak.

Mengulas mengenai keselamatan penunggang motosikal, beliau berkata, perbincangan sudah bermula di peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menjadikan lorong motosikal satu dasar wajib dalam setiap pembinaan lebuh raya baharu selepas ini.

"Bagi reka bentuk (lebuh raya) lama tidak boleh dibuat apa dan tidak boleh dilebarkan (untuk pembinaan lorong motosikal). Namun, untuk yang akan datang mesti pertimbang lorong khas (motosikal)," katanya.

Mengenai projek garisan glow in the dark atau bercahaya dalam gelap di jalan raya, beliau berkata, setakat ini projek rintis yang dilaksanakan ditaja oleh pihak luar dan bukannya daripada KKR ekoran kos yang tinggi.

Sementara itu, LLM dalam kenyataan menasihatkan penunggang motosikal untuk berhenti berteduh atau berehat di lokasi tempat berteduh yang disediakan di sepanjang lebuh raya. - BERNAMA