Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

4,000 rakyat Malaysia terkesan banjir di Hatyai, semua dilaporkan selamat

Bernama 22/11/2025 | 15:44 MYT
Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir yang sedang melanda, namun semuanya dilaporkan selamat, menurut Kementerian Luar Malaysia. - Foto Sinar Harian
SONGKHLA: Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir yang sedang melanda, namun semuanya dilaporkan selamat, menurut Kementerian Luar Malaysia.


Ringkasan AI
  • Sekitar 4,000 rakyat Malaysia di Hatyai dan kawasan berhampiran terkesan akibat banjir; mereka selamat dengan kebanyakan menginap di hotel bertingkat.
  • Kementerian Luar Malaysia memantau rapat situasi banjir; sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan, hotel, dan rakyat Malaysia di kawasan terjejas.
  • Keadaan cuaca dijangka bertambah baik; paras air banjir dijangka surut menjelang Isnin; Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia untuk kekal di dalam bangunan dan patuhi arahan pihak berkuasa tempatan.


Dalam satu kenyataan, kementerian berkata setakat petang Sabtu, kebanyakan daripada mereka yang terjejas sedang menginap di hotel bertingkat, meskipun terdapat yang mengalami gangguan sementara bekalan elektrik dan akses makanan ekoran gangguan setempat.

Kementerian Luar, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, sedang memantau rapat situasi banjir dan akan mengeluarkan perkembangan terkini keadaan di sana apabila perlu.

"Konsulat Jeneral di Songkhla telah mengaktifkan pasukan operasinya bagi membantu rakyat Malaysia yang mungkin terkandas atau memerlukan bantuan.

"Konsulat Jeneral juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, hotel dan kumpulan rakyat Malaysia di kawasan terjejas," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata Polis Pelancong Thailand dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan sepenuhnya dan sedang aktif menguruskan keadaan.

Keadaan cuaca dijangka bertambah baik, dengan hujan lebat diramalkan berhenti pada Ahad. Paras air banjir dijangka surut dan keadaan keseluruhan dijangka pulih menjelang Isnin (24 Nov).

Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia di Hat Yai dan kawasan sekitarnya supaya kekal berada di dalam bangunan jika boleh, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan, dan berhati-hati di kawasan terjejas banjir.

Rakyat Malaysia yang belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral di Songkhla atau Kedutaan Besar di Bangkok digesa berbuat demikian.

Untuk bantuan konsul, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di +(66 74) 311 062 bagi pertanyaan umum, +(66 74) 316 274 atau +(66 81) 990 1930 untuk kecemasan, dan +(66 74) 324 004 atau 312 353 untuk bantuan tambahan, atau e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

Mereka juga boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok di +66-2340-5720 bagi urusan umum, +66-2340-5731 atau 5732 bagi urusan konsul pada waktu pejabat, +66-87-028-4659 untuk kecemasan pada hujung minggu dan cuti umum, +66-2340-5721 sebagai talian tambahan, atau e-mel mwbangkok@kln.gov.my.

Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, ketika dihubungi Bernama, menggesa rakyat Malaysia yang terkandas supaya bertenang dan memberi jaminan bahawa Konsulat Jeneral sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi membantu mereka yang terkesan.

"Kebanyakan pelancong Malaysia terkandas di Bandar Hat Yai, dan ramai yang menghubungi untuk mendapatkan bantuan, khususnya makanan dan susu bayi kerana mereka tidak dapat bergerak akibat paras air banjir yang tinggi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana Thailand (DDPM) melaporkan bahawa hujan berterusan di wilayah selatan negara itu sejak Isnin lepas telah meragut 25 nyawa dan menyebabkan 650,423 orang dipindahkan setakat Sabtu.

-- BERNAMA


#banjir Hatyai #rakyat Malaysia #selamat #Wisma Putra