MALAYSIA

40,000 akaun air terjejas akibat pencemaran ammonia, sisa kumbahan di Johor Bahru, Skudai

Bernama 25/07/2025 | 08:20 MYT
Ranhill SAJ menganjurkan solat sunat istisqa di loji tersebut pagi ini, yang dipimpin oleh Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Mohd Zunnurain Abdul Khohar. - Gambar/ Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Hampir 40,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru dan Skudai terjejas berikutan kandungan ammonia melebihi tahap selamat dikesan dalam sumber air mentah yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai pada Rabu lepas.


Ringkasan AI
  • Hampir 40,000 akaun pengguna di Johor Bahru dan Skudai terjejas akibat pencemaran ammonia melebihi tahap selamat dalam sumber air mentah yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Sultan Ismail, Skudai.
  • Ranhill SAJ mengambil langkah kawalan segera dan berjaya mengurangkan jumlah akaun terjejas kepada kurang 1,000; pencemaran dikenal pasti berpunca daripada sisa kumbahan, industri dan aktiviti pertanian tidak terkawal.
  • Sebagai usaha spiritual dan solidariti, solat sunat istisqa dianjurkan di loji tersebut bersama petugas dan penduduk; Ranhill SAJ menyeru semua pihak memainkan peranan dalam menjaga sungai dan alam sekitar demi kelangsungan bekalan air bersih.


Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Anuar Abdul Ghani berkata pencemaran ammonia ini merupakan insiden serius yang memberi kesan langsung kepada bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan terlibat.

"Dengan kepekatan tinggi, ammonia boleh mencemarkan air sungai dan menjadikannya berbahaya untuk digunakan. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah turut membahayakan kesihatan manusia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ranhill SAJ, sebagai operator air tunggal di Johor, telah mengambil langkah proaktif bagi mengawal keadaan dan berjaya mengurangkan jumlah akaun pengguna terjejas kepada kurang 1,000 akaun setakat ini.

Syarikat itu turut menjalankan pemantauan rapi terhadap kualiti air dengan mengambil sampel dari lokasi yang terjejas dan sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca pencemaran serta mengambil tindakan mitigasi segera.

Beliau berkata antara punca pencemaran ammonia yang dikenal pasti termasuk sisa kumbahan, sisa industri dan aktiviti pertanian yang tidak terkawal.

Sebagai sebahagian daripada usaha memohon pertolongan Allah SWT, Ranhill SAJ turut menganjurkan solat sunat istisqa di loji tersebut pagi ini, yang dipimpin oleh Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Mohd Zunnurain Abdul Khohar.

Solat berkenaan turut disertai petugas syarikat serta penduduk setempat.

Ranhill SAJ meminta semua pihak, termasuk masyarakat dan industri untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara sungai dan alam sekitar demi kelangsungan sumber air bersih kepada rakyat Johor.

-- BERNAMA


#Ranhill SAJ #gangguan bekalan air #sisa kumbahan #Johor Bahru #Skudai