416 kes COVID-19 di Malaysia babitkan rakyat asing, warga Indonesia tertinggi kes positif

Hasimi Muhamad
April 9, 2020 09:49 MYT
Menurut Dr Noor Hisham, rakyat Indonesia menyaksikan 51 kes positif COVID-19 dicatatkan di negara ini.
Sebanyak 416 kes positif COVID-19 termasuk satu kematian di negara ini dikesan dalam kalangan bukan warganegara Malaysia setakat Khamis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara lima negara utama yang disenaraikan, negara jiran, Indonesia dengan menyaksikan 51 kes dicatatkan membabitkan rakyat dari republik tersebut.
“(Sementara) 37 kes terdiri daripada warganegara India; Myanmar (31); Pakistan (29 kes); dan Filipina (27 kes).
“KKM (Kementerian Kesihatan) bekerjasama rapat dengan pihak United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) bagi memastikan golongan pelarian dan pemohon suaka (asylum seeker) turut diliputi dalam aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
“Selain itu, KKM juga mendapat banyak bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan juga sukarelawan dalam menjalankan aktiviti pengesanan di lapangan dengan penglibatan anggota di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah.
“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja, seramai 137 orang sukarelawan dari pelbagai sektor telah menggembleng tenaga bagi bersama-sama menjalankan aktiviti ini,” katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.
Selain itu, antara warga asing yang mencatatkan kes positif COVID-19 di negara ini adalah China (25 kes); Bangladesh (12 kes); Kemboja (lapan kes); Thailand (tujuh kes); Brunei (enam kes); Rohingya (lima kes) serta Fiji dan Amerika Syarikat masing-masing mencatatkan empat kes.
Manakala, Jordan (tiga kes); Australia (dua kes); Jepun (dua kes); Nigeria ( dua kes); Singapura (dua kes); United Kingdom (dua kes); sementara Mesir; Itali; Maldives; Nepal; Somalia; dan Tunisia masing-masing satu kes.
Menurut Dr Noor Hisham, kementerian telah memaklumkan kepada pihak kedutaan negara berkenaan berhubung kes positif melibatkan rakyat mereka.
#COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #KKM #Kuala Lumpur #Media #Myanmar #Noor Hisham Abdullah #Pakistan