42 lagi kluster baharu dikesan, 23 libatkan kluster Tempat Kerja

Astro Awani
Ogos 19, 2021 11:22 MYT
Dr Noor Hisham berkata kluster Tempat Kerja tertinggi direkodkan di Negeri Selangor - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 42 lagi kluster baharu dikesan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster setakat ini adalah 1,979.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan memaklumkan, daripada jumlah tersebut, 23 melibat kluster Tempat Kerja.
Katanya, kluster tempat kerja tertinggi direkodkan di negeri Selangor dengan 10 kluster, manakala empat lagi di Pulau Pinang.
Kelantan dan Perak masing-masing mencatatkan tiga kluster Tempat Kerja, sementara dua lagi dikesan di Johor dan satu di Pahang.
"Selain itu, 15 kluster Komuniti, Pusat Tahanan (dua), Kumpulan Berisiko (satu), serta Keagamaan (satu)," kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kadar kebolehjangkitan (RT) COVID-19 di Malaysia setakat 18 Ogos berada pada paras 1.04.
Perlis mencatatkan nilai RT tertingggi iaitu 1.33, diikuti oleh Sarawak (1.21), dan Sabah (1.19).
"Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan," ujar beliau.
#Dr Noor Hisham Abdullah #COVID-19 #Kluster tempat kerja #Kluster baharu #Kes COVID-19 Selangor #Covid-19 Malaysia #kes kematian COVID-19