42 pasangan ceria dapat kahwin percuma di Parlimen Lenggong

Nazialita Geynna Maharan
Disember 17, 2016 13:43 MYT
Sebanyak 42 pasangan pengantin baharu diraikan dengan menaiki bas dua tingkat sejauh dua kilometer dari pekan Lenggong ke Dataran Lenggong, pada program Perkahwinan Beramai-Ramai 2016 Parlimen Lenggong hari ini. - Foto Bernama
Meraikan sepasang pengantin baharu sudah cukup menceriakan suasana, apatah lagi dengan majlis perkahwinan yang melibatkan 42 pasangan dalam satu masa.
Program majlis perkahwinan beramai-ramai 2016 yang julung kali diadakan di Parlimen Lenggong menyaksikan kesemua pasangan pengantin diberi penajaan percuma dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata konsep majlis kahwin secara percuma ini dibuat atas keprihatinan untuk membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya anak muda melangsungkan perkahwinan.
“Perkahwinan ini satu program yang dekat dengan rakyat. Apatah lagi dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan. Tahun depan kita akan membuat konsep yang dilakukan secara lebih tradisional, konsep rewang sesuai dengan kawasan ini tempat pelancongan.
“Saya percaya selain daripada itu dia juga boleh merapatkan hubungan sesama kita kita mengadakan program tanpa kita mengira latar belakang. Yang penting ini sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat dan sudah tentu apabila kita memberi sesuatu yang menggembirakan rakyat ia akan membolehkan kita bersama-sama dengan mereka melaksanakan apa juga perkara,” katanya ketika ditemui di majlis itu di sini hari ini.
Selain diarak dengan bas dua tingkat dan konvoi motosikal besar, hadirin dan pasangan pengantin dihiburkan dengan pencak silat, paluan kompang dan persembahan dari artis terkenal Nash.
Pendaftaran bagi majlis perkahwinan ini bermula sejak setahun yang lepas dengan syarat salah seorang dari pasangan hendaklah berasal dari Parlimen Lenggong.
Majlis melibatkan kerjasama ramai pihak termasuk Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong, Majlis PelanconganLenggong, Jabatan Perdana Menteri dan masyarakat di Lenggong.
#Dr Shamsul Anuar Nasarah #ijab kabul #Kahwin beramai-ramai #Parlimen Lenggong