TEMERLOH: Seramai 45 peniaga di dua daerah iaitu Temerloh dan Maran dikenakan tindakan kompaun serta-merta melibatkan hasil kutipan RM7,900 menerusi pemeriksaan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Temerloh, Abdul Razak Yahaya memberitahu, pemeriksaan itu membabitkan 3,312 premis di kawasan bandar dan luar bandar.

Menurutnya, jumlah tersebut melibatkan 38 kes di bawah kesalahan Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan tujuh kes lagi di bawah Akta Timbang Dan Sukat 1972.

"Selain daripada itu, sebanyak 27 kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961 (2 kes), Akta Perlindungan Pengguna 1999 (23 kes) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (dua kes).

"Sebanyak 25 kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan arahan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau lagi, sebanyak RM68,800 kutipan kompaun berjaya dihasilkan dengan penyelesaian sebanyak 17 kes di bawah KPI Ops Rampung 4.0 daripada 19 kes yang telah ditetapkan.

"Jumlah keseluruhan kutipan hasil kompaun untuk tiga bulan pertama tahun ini ialah sebanyak RM76,700.

"Sehubungan itu, jumlah aduan pengguna yang diterima dalam tempoh tiga bulan pertama adalah sebanyak 53 dan 48 aduan berjaya disiasat dan diselesaikan," jelas Abdul Razak.

Tambah beliau, pemantauan dan pemeriksaan premis secara berterusan akan dipertingkatkan dengan tindakan yang lebih pro aktif selain daripada ops bersepadu yang dijalankan bersama lain-lain agensi di musim perayaan ini.

"KPDN Cawangan Temerloh ingin memberi amaran dan peringatan yang tegas kepada semua peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan pada kadar yang tidak munasabah.

"Pengguna juga dinasihatkan agar berhemah dalam berbelanja dan sentiasa membuat pilihan yang bijak dalam memilih barangan mengikut keperluan dan kemampuan serta mengelakkan pembaziran," ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Razak memberitahu, pelbagai kempen untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat sedang dijalankan oleh KPDN seperti Kempen Jualan Rahmah, Menu Rahmah di restoran dan juga bazar Ramadan. - Sinar Harian