KUALA LUMPUR: Kira-kira 450 warga Sekolah Bina Insan (SBI) Yayasan Management and Science University (MSU) menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 menerusi pelbagai program berteraskan patriotisme, sejarah dan kelestarian yang dianjurkan oleh Bidang Kemanusiaan sekolah itu.
Yayasan MSU dalam satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, program yang berlangsung sepanjang Bulan Kebangsaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran, penghayatan dan kecintaan warga sekolah terhadap sejarah negara, perjuangan kemerdekaan, kebudayaan serta identiti Malaysia.
Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Pertandingan Tiru Gaya Tokoh, Pertandingan Dikir Barat, Pertandingan Koir dan Pertandingan Hiasan Kelas Mengikut Era Peredaran Zaman.
Pertandingan hiasan kelas mengetengahkan perjalanan sejarah tamadun manusia bermula daripada zaman awal peradaban sehingga era pemerintahan Perdana Menteri Malaysia ke-10, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menghayati perkembangan sejarah secara kreatif dan interaktif.
Pihak sekolah berkata pelbagai aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja mencungkil bakat dan kreativiti pelajar, malah memupuk nilai kerjasama, disiplin, komunikasi, keyakinan diri serta semangat patriotisme dalam kalangan warga sekolah.
Bagi menjadikan penghayatan Bulan Kebangsaan lebih bermakna, warga sekolah turut menghasilkan replika Menara Berkembar Petronas (KLCC) setinggi 6.9 meter menggunakan hampir 1,000 botol mineral terpakai sebagai simbolik kepada Sambutan Kemerdekaan ke-69.
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama guru dan pelajar yang melibatkan proses pengumpulan bahan, perancangan serta pembinaan, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) selain menggalakkan kreativiti, kolaborasi dan kemahiran penyelesaian masalah.
Inisiatif itu juga selaras dengan agenda kelestarian yang diperjuangkan oleh institusi induk SBI, iaitu MSU, khususnya dalam memperkasakan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
Selain menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 12 iaitu Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab, projek tersebut turut menyumbang kepada SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat).
Kemuncak sambutan ialah Majlis Pelancaran Menara KLCC SBI Yayasan MSU yang menjadi simbol gabungan semangat patriotisme, kreativiti, pendidikan dan kelestarian.
Replika berkenaan bukan sekadar mercu tanda sambutan, malah menjadi manifestasi kesungguhan warga sekolah dalam menghayati kemerdekaan, menghargai sejarah dan identiti negara, serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.