[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

46 pendatang ditahan dalam Ops Sapu di Ulu Tiram

Bernama 11/09/2025 | 14:00 MYT
Mohd Rusdi berkata operasi yang bermula pada 12 tengah malam itu, melibatkan 26 pegawai daripada Bahagian Penguat Kuasa negeri. - Gambar Instagram Imigresen Johor
JOHOR BAHRU: Sebanyak 46 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam operasi penguatkuasaan Ops Sapu di sekitar Bandar Ulu Tiram, semalam kata Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Beliau berkata operasi yang bermula pada 12 tengah malam itu, melibatkan 26 pegawai daripada Bahagian Penguat Kuasa negeri.

"Pemeriksaan dijalankan terhadap 81 individu di beberapa rumah teres dan rumah kedai yang disyaki disewakan kepada warga asing. Hasilnya, 46 orang ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki warganegara Indonesia, 12 lelaki Myanmar, empat lelaki Bangladesh, 10 perempuan Indonesia, empat perempuan Myanmar, seorang lelaki Nepal dan dua kanak-kanak perempuan warga Indonesia, berusia antara dua hingga 50 tahun.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana tinggal di Malaysia selepas pas atau permit tamat atau dibatalkan, serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah," katanya.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

Mohd Rusdi turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan operasi itu.

"JIM Johor akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan di seluruh negeri ini dan tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa serta menyalah guna pas.

"Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI," katanya.

-- BERNAMA



#warga asing #permit sah #pati #siasatan lanjut