KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memulakan 47 pertuduhan jenayah terhadap enam individu atas pelbagai kesalahan sekuriti dan satu tindakan penguatkuasaan sivil terhadap lima individu pada tahun 2022.

SC dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini berkata bagi tindakan sivil, sejumlah RM4.58 juta telah dilupuskan daripada enam individu yang memasuki penyelesaian kawal selia manakala RM3.67 juta lagi telah dilupuskan daripada seorang individu melalui penghakiman persetujuan yang dibuat dengan SC.

"Bagi kes yang dipertikaikan, SC telah berjaya mendapatkan penghakiman terhadap lima individu yang didapati bertanggungjawab atas pelbagai kemungkiran sekuriti. Mereka telah diarah membayar jumlah semula amaun berjumlah RM10.74 juta," kata SC.

Tahun lepas, sebanyak RM27.94 juta jumlah yang diperoleh semula dan sejumlah RM5.80 juta dalam penalti sivil juga telah diperolehi oleh SC bagi tahun 2022, SC juga memperoleh keputusan yang menyebelahinya dalam dua rayuan sivil dan dua permohonan pelepasan.

Setakat 31 Disember, 2022, SC berkata sejumlah RM1.53 juta telah dikembalikan kepada 284 pelabur, manakala RM815,549 lagi diperuntukkan untuk pengembalian lanjut melibatkan 392 pelabur.

"Melalui tindakan penguatkuasaan sivil SC, seorang individu telah dihalang daripada berdagang di bursa saham manakala enam lagi individu dihalang daripada menjadi pengarah syarikat senaraian awam (PLC)," katanya.

Bagi tindakan jenayah pula, SC berkata 47 pertuduhan jenayah melibatkan enam individu terbabit adalah termasuk penipuan sekuriti dan derivatif, pengubahan wang haram, aktiviti tidak berlesen serta ketidakpatuhan notis yang dikeluarkan oleh Pegawai Penyiasat SC berkaitan penyiasatan.

Selain itu, pada tahun 2022, SC berjaya mendapatkan sabitan terhadap sembilan individu yang terlibat dalam pelbagai pelanggaran undang-undang sekuriti seperti manipulasi pasaran, aktiviti tidak berlesen, penzahiran kewangan palsu dan kegagalan untuk hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC berkaitan dengan penyiasatan pengubahan wang haram.

"Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap sabitan ini ialah hukuman penjara antara satu hari hingga satu tahun dan jumlah denda berjumlah RM12.96 juta," katanya.

SC juga dengan kebenaran bertulis Pendakwa Raya (PP) turut mengeluarkan notis kompaun terhadap empat individu dan satu PLC bagi penzahiran kewangan palsu dan terhadap seorang individu kerana pemalsuan rekod yang mengakibatkan jumlah bayaran kompaun berjumlah RM16 juta.

Bagi rayuan jenayah, SC memperolehi dua keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi pada 2022, masing-masing bagi kesalahan yang melibatkan jenayah pecah amanah dan penzahiran kewangan yang mengelirukan.

Tahun lepas, terdapat 36 kes yang berterusan di pelbagai peringkat mahkamah iaitu daripada Mahkamah Sesyen sehingga Mahkamah Persekutuan melibatkan 56 individu atau entiti.

Bagi jenis kes, ia terdiri daripada 31 peratus adalah berkaitan dagangan orang dalam, 22 peratus berhubung salah laku korporat dan 17 peratus melibatkan pengubahan wang haram.

Ia diikuti dengan 14 peratus kes penipuan sekuriti, 11 peratus melibatkan aktiviti tidak berlesen dan lima peratus manipulasi pasaran.

Dalam perkembangan lain, SC turut memohon 18 bantuan siasatan kepada 10 pihak berkuasa pengawal selia asing di bawah Memorandum Persefahaman Pelbagai Hala untuk Kerjasama Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (MMoU IOSCO).

-- BERNAMA