MALAYSIA

4.8 juta penerima SARA telah guna MyKad beli barangan asas - Lim

Bernama 21/06/2025 | 07:30 MYT
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying bersama penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) semasa membeli-belah di pasar raya Mydin George Town hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Seramai 4.8 juta daripada 5.4 juta penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah memanfaatkan kemudahan penggunaan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar seluruh negara setakat bulan ini.

Ringkasan AI
  • Seramai 4.8 juta daripada 5.4 juta penerima SARA telah menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas, dengan kadar penggunaan tertinggi di Perlis, Sabah dan Kedah melebihi 93 peratus.
  • Kerajaan menambah baik program SARA dengan menaikkan jumlah bantuan maksimum kepada RM2,100 setahun, meluaskan kategori barangan kepada 14 jenis, dan mendaftarkan 3,700 premis peruncitan seluruh negara.
  • Jumlah peruntukan bantuan STR dan SARA meningkat kepada RM13 bilion, menjadikannya bantuan tunai terbesar pernah disalurkan oleh kerajaan, sebagai usaha meringankan beban kewangan rakyat.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata Perlis mencatat kadar penggunaan tertinggi iaitu 94 peratus, diikuti Sabah dan Kedah masing-masing 93 peratus, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar 88 peratus.
Beliau berkata, statistik tersebut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif berkenaan yang semakin baik hasil pelbagai usaha penerangan dan promosi termasuk di peringkat negeri.
"Pihak kementerian akan terus mempergiat kempen kesedaran bagi memastikan rakyat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan kerajaan untuk meringankan beban kewangan mereka.
"Malah, jumlah penerima program ini juga telah ditingkatkan secara signifikan, daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang bermula April lepas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program SARA Kementerian Kewangan bersama penerima SARA di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.
Dalam program itu, Lim turut menyantuni 100 penerima SARA sebagai sebahagian daripada usaha kementerian turun padang untuk berinteraksi secara langsung dengan penerima di kawasan bandar.
Beliau berkata Pulau Pinang merekodkan 293,000 penerima, dengan 88 peratus daripada mereka telah membuat pembelian menggunakan MyKad.
Setakat ini, katanya sebanyak 3,700 premis peruncitan di seluruh negara telah berdaftar di bawah program berkenaan bagi membolehkan penerima membeli keperluan harian tanpa perlu ke lokasi yang jauh, termasuk 190 premis di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, beliau berkata bermula 1 Mei lepas, kerajaan turut menambah baik pelaksanaan program itu dengan meluaskan kategori barangan asas yang dibenarkan, termasuk produk kebersihan rumah dan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan seperti pakaian dan kasut, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 14 kategori.
"Selain itu, kadar maksimum bantuan SARA bagi tahun 2025 turut dinaikkan kepada RM2,100, berbanding RM1,200 pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 75 peratus," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah bantuan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah ditingkatkan kepada RM13 bilion pada tahun ini, menjadikannya peruntukan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah penyaluran oleh kerajaan.
-- BERNAMA
#bantuan Sumbangan Asas Rahmah #penerima SARa #mykad #Lim Hui Ying