49 lagi kilang, tapak pembinaan, premis perniagaan diarah tutup - Ismail Sabri

Hasimi Muhamad
Julai 24, 2021 11:42 MYT
Ismail Sabri berkata sebanyak 80,868 pemeriksaan dijalankan dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,168 orang - Gambar/ BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 49 premis meliputi kilang, premis perniagaan serta tapak pembinaan diarah tutup kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Tindakan tersebut diambil hasil daripada pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara yang dijalankan oleh Pasukan Task Force Operasi Pematuhan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 80,868 pemeriksaan dijalankan dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,168 orang.
"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,905 buah kilang, 14,249 premis perniagaan, 742 tapak pembinaan dan 270 buah asrama penempatan pekerja," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata seramai 337 individu turut ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP.
Daripada jumlah tersebut, seramai 332 individu dikompaun, sementara lima lagi direman.
#SOP #Timbalan Perdana Menteri #COVID-19 #langgar SOP #ismail sabri yaakob #PKP 3 0 #Pelan Pemulihan Negara #berita hari ini