5 bayi antara 50 terperangkap dalam insiden kepala air di Kelantan

Muhafandi Muhamad
November 14, 2021 01:10 MYT
Kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan. -JBPM
KUALA KRAI: Seramai 15 kanak-kanak termasuk lima bayi bersama 35 orang dewasa berjaya diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap akibat kepala air di Sungai Kenderong, Jelawang, Dabong di sini lewat petang semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota bomba dari BBP Dabong sekitar jam 8 malam.
Kesemua mangsa dilapor terperangkap di kawasan perkelahan berkenaan akibat limpahan air sungai yang deras.
Komander operasi, Mohd Azwan Daud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5 petang.
Enam anggota terlibat membantu menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali dan juga bot.
Kesemua mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Keadaan hujan di kebanyakan kawasan di Kelantan sejak beberapa hari lalu mengundang berlakunya limpahan air sungai dan kepala air.
#kepala air #bomba #Dabong #Sungai Kenderong