KUALA LUMPUR: Lima lagi kes positif COVID-19 dilaporkan berkaitan Mesyuarat Khas Parlimen baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan adalah 102 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu melibatkan lima sekeluarga, dengan pesakit pertama bergejala adalah individu yang menghadiri sidang Parlimen berkenaan.

"Tiga kes mempunyai nilai kitaran ambang atau CT value RT PCR antara 16.98 sehingga 22.76 (kebolehjangkitan yang tinggi), manakala dua lagi adalah di antara 28.98 sehingga 33.98.

"Kesemua mereka telah lengkap mendapat dua dos vaksin. Mereka hanya bergejala ringan dan menjalani kuarantin di kediaman masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.



Setakat ini, 30 individu yang dikesan positif membabitkan persidangan Parlimen itu adalah dua Ahli Parlimen, masing-masing sembilan pengiring dan pegawai agensi kerajaan, dan tujuh kes lain-lain iaitu ahli keluarga, kontraktor serta kakitangan Parlimen.

Selain itu, 64 kes dikesan semasa saringan pra-Dewan Rakyat dan lapan kes semasa saringan pra-Dewan Negara.

Justeru, KKM bersama pihak Parlimen dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah berbincang mengenai beberapa penambahbaikan yang diperlukan sebagai persediaan pembukaan semula Parlimen bagi mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan sebelum dan semasa persidangan.

"Kesiapsiagaan ini terdiri daripada tindakan memastikan individu-individu pelbagai kategori dan dari pelbagai negeri yang hadir ke Parlimen supaya mereka sihat dan tidak dijangkiti COVID-19 pada masa tersebut.

"Kedua, keadaan persekitaran serta bahagian dalaman Parlimen dikaji dan ditambahbaik supaya selamat, kurang risiko dan tidak menjadi tempat penularan COVID-19," ujar Dr Noor Hisham.