[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

5 sebab FBM KLCI mampu mencatat kenaikan 5 minggu berturut-turut - Penganalisis

Astro Awani 19/05/2025 | 03:40 MYT
Pemulihan ini didorong oleh beberapa faktor utama yang berkait rapat dengan perkembangan dasar ekonomi global dan tempatan. - Gambar hisan
KUALA LUMPUR: Pasaran saham Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan kenaikan selama lima minggu berturut-turut.
Ini sekali gus memperlihatkan ketahanan pasaran terhadap ketidaktentuan global.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan menjelaskan, pemulihan ini didorong oleh beberapa faktor utama yang berkait rapat dengan perkembangan dasar ekonomi global dan tempatan.
1) Penangguhan tarif AS oleh Donald Trump
Pada 9 April 2025, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penangguhan sebahagian tarif terhadap negara yang mempunyai defisit perdagangan, termasuk Malaysia.
Pengumuman ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada pelabur, malah mencetuskan lonjakan serentak dalam pasaran serantau. FBM KLCI melonjak 4.55 peratus dalam satu hari dengan prestasi harian terbaik dalam lebih sedekad.
Ini turut menambah sekitar RM73 bilion kepada modal pasaran.
“Langkah ini memberi isyarat bahawa rundingan perdagangan masih terbuka, sekaligus meredakan ketegangan pasaran dan menggalakkan pelabur untuk kembali ke pasaran ekuiti Malaysia", ujar Mohd Sedek.
2) Pelabur asing kembali ke Bursa Malaysia
Sejak 23 April 2025, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih dalam pasaran ekuiti Malaysia.
Ini merupakan indikator positif bahawa Malaysia masih kekal relevan sebagai destinasi pelaburan, khususnya di sektor eksport dan pengguna.
Aliran masuk modal ini turut memperkukuh kestabilan kecairan pasaran dan mengurangkan tekanan jualan runcit.
“Kembalinya pelabur asing ke dalam Bursa Malaysia menunjukkan keyakinan baharu terhadap potensi pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam jangka sederhana", tambah Mohd Sedek.
3) Lawatan Xi Jinping tingkatkan keyakinan pasaran
Kunjungan rasmi Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia baru-baru ini turut menjadi faktor pendorong kepada sentimen positif pasaran.
Fokus utama lawatan tersebut adalah kerjasama dalam sektor strategik seperti pemprosesan nadir bumi dan tenaga bersih.
“Lawatan ini tidak sekadar simbolik, ia memberi isyarat komitmen jangka panjang China terhadap kerjasama ekonomi dua hala, sekali gus memperkukuh prospek pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia,” jelas beliau.
4) Kestabilan dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM)
Keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus terus menyokong pertumbuhan ekonomi tanpa menambah tekanan inflasi.
Langkah ini dilihat memberi asas yang kukuh kepada pasaran ekuiti, terutama sektor yang bergantung kepada permintaan domestik dan pembiayaan kos rendah.
“Kestabilan dasar monetari ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan keyakinan pelabur, terutamanya di sektor perbankan dan utiliti", katanya lagi.
5) Harapan Persidangan ASEAN 2025
Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN pada 26-27 Mei, pelabur kini memberi tumpuan kepada tiga elemen utama yang dijangka memberi impak besar kepada Bursa Malaysia:
- Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA): Menyokong pertumbuhan teknologi seperti e-dagang dan fintech.
- Pelan Visi Komuniti ASEAN 2045: Merangsang sektor tenaga boleh diperbaharui dan pembinaan melalui projek infrastruktur serantau.
- Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China: Membuka peluang pelaburan asing dalam sektor logistik dan pertanian.
“Persidangan ASEAN 2025 berpotensi menjadi katalis penting kepada pasaran ekuiti Malaysia, terutamanya dalam memperkukuh sektor teknologi dan tenaga hijau,” jelas Mohd Sedek.
Gabungan kestabilan dasar monetari, sokongan pelabur asing, serta prospek cerah menjelang Sidang Kemuncak ASEAN dijangka mampu mengekalkan momentum positif ini.
Beliau berkata, momentum pemulihan ini bukan sekadar pantulan jangka pendek, ia adalah manifestasi keupayaan Malaysia untuk menyesuaikan diri secara strategik dalam persekitaran yang mencabar.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bakal menjadi ujian sebenar sama ada pasaran mampu mengekalkan lonjakan atau memerlukan pelarasan.
#ASEAN #fbm klci #pelaburan #sidang kemuncak